
KECEDERUNGAN pengundi muda Melayu menyokong Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak bermakna Pakatan Harapan (PH) kehilangan peluang untuk meraih sokongan golongan berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar berkata, sokongan anak muda terhadap sesuatu parti bukanlah sesuatu yang kekal, sebaliknya masih boleh berubah bergantung kepada pendekatan politik serta tawaran dasar yang dikemukakan.
Menurutnya, pengundi muda masih terbuka untuk menerima parti lain sekiranya pendekatan yang dibawa benar-benar menepati kehendak dan keperluan mereka.
“Data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan pengundi berusia antara 18 hingga 39 tahun merangkumi 47.3 peratus daripada keseluruhan pemilih berdaftar di Melaka, sekali gus menjadikan kelompok itu penting dalam menentukan landskap politik negara.
“Golongan muda Melayu berpendidikan tinggi khususnya merupakan kumpulan berpotensi yang masih belum didekati secara berkesan oleh PH,” katanya.
Malah, Hisommudin berkata, terdapat dalam kalangan mereka yang masih belum mempunyai kecenderungan jelas terhadap mana-mana parti politik.
“Majoriti mereka berkata tidak tahu siapa yang patut disokong. Inilah kekosongan yang perlu diisi,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berpandangan PH masih mempunyai ruang untuk membina semula keyakinan pengundi muda menerusi agenda reformasi dan dasar yang diperjuangkan.
Bagaimanapun, gabungan itu perlu memperbaiki strategi komunikasi serta pendekatan mendekati golongan muda dan tidak hanya bergantung kepada kaedah politik tradisional.
Sementara itu, penyelidik Ilham Centre, Abdul Muqit Muhammad berkata, kecenderungan politik anak muda Melayu turut dipengaruhi persekitaran sosial termasuk keluarga, guru, rakan sebaya dan institusi agama.
“Penggunaan media sosial seperti TikTok pula lebih banyak membentuk emosi serta daya tarikan terhadap personaliti calon berbanding meningkatkan pemahaman terhadap isu dan dasar politik,” katanya.
Beliau turut menyentuh hubungan kerajaan dengan aktivis masyarakat sivil yang berpotensi mempengaruhi persepsi anak muda terhadap PH.
Katanya, tindakan kerajaan dalam menangani pertubuhan masyarakat sivil yang melibatkan golongan muda, termasuk isu siasatan terhadap Mandiri, boleh memberi kesan terhadap tahap kepercayaan mereka kepada kerajaan.
Dalam perkembangan sama, platform Threads dilihat menyediakan ruang lebih luas untuk perbincangan dan perdebatan politik dalam kalangan generasi muda.
Justeru, keputusan PRN Melaka tidak seharusnya ditafsirkan sebagai penolakan muktamad pengundi muda Melayu terhadap PH.
Sebaliknya, peluang masih terbuka sekiranya gabungan itu berani memperkukuh agenda reformasi, menawarkan dasar yang relevan serta bersedia mendengar keresahan dan aspirasi generasi muda.
END.


