KLIA lokasi perintis, 17 langkah perkukuh keselamatan pintu masuk negara diluluskan

KUALA LUMPUR – Kerajaan meluluskan 17 syor penambahbaikan keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan pintu masuk antarabangsa negara, dengan enam tindakan segera atau Quick Wins diberi keutamaan.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pengangkutan (MoT) dalam kenyataan bersama pada Khamis berkata, keputusan itu dipersetujui Jemaah Menteri semalam menerusi Memorandum Bersama KDN-MoT susulan beberapa insiden yang menimbulkan kebimbangan terhadap integriti kawalan keselamatan di pintu masuk negara.

Enam langkah segera berkenaan merangkumi saringan bersasar berasaskan risiko; e-Vetting dan kawalan akses; saringan dadah terhadap personel penerbangan; peningkatan kehadiran pasukan keselamatan; pengukuhan perkongsian maklumat keselamatan serta penubuhan Jawatankuasa Teknikal KDN-MoT.

Menerusi saringan bersasar, pemeriksaan terhadap penerbangan, penumpang, kru dan bagasi yang dikenal pasti berisiko akan dipertingkatkan.

“Bagi e-Vetting dan kawalan akses pula, prosedur tapisan keselamatan akan diteliti serta diperkukuh melibatkan kru penerbangan, kakitangan syarikat penerbangan, petugas operasi dan pengendalian darat, pekerja pengendali lapangan terbang, vendor, kontraktor serta individu lain yang memerlukan akses ke kawasan keselamatan terhad,” menurut kenyataan itu.

Kerajaan turut memperkukuh saringan dadah prapengambilan, berkala dan secara rawak terhadap juruterbang, kru kabin serta kakitangan berkaitan.

Dalam masa sama, kehadiran anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di lokasi strategik akan ditingkatkan sebagai langkah pencegahan, termasuk penambahan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) bagi setiap syif di Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA.

Aspek perkongsian maklumat keselamatan dan risikan turut diperkukuh melalui National Immigration Command Centre (NICC).

Jawatankuasa Teknikal KDN-MoT pula akan ditubuhkan segera dan dipengerusikan bersama Ketua Setiausaha KDN serta Ketua Setiausaha MoT bagi menyelaras tindakan, menyelesaikan isu rentas agensi dan memantau pelaksanaan keseluruhan pelan.

“Enam langkah berkenaan menjadi keutamaan bagi fasa jangka pendek sebelum pelaksanaan keseluruhan 17 syor secara berperingkat.

“Bagi fasa jangka sederhana, tumpuan diberikan kepada pembangunan teknologi, aset dan sumber manusia, manakala fasa jangka panjang melibatkan transformasi sistem, perkongsian maklumat, tadbir urus serta peluasan pelaksanaan ke pintu masuk antarabangsa di seluruh negara berdasarkan tahap risiko dan kesesuaian setiap lokasi,” menurut kenyataan itu.

Pelan berkenaan dirangka susulan beberapa insiden keselamatan berprofil tinggi, termasuk penahanan seorang warganegara Malaysia di Indonesia kerana disyaki terbabit dalam penyeludupan dadah.

KLIA akan dijadikan lokasi perintis sebelum pelan tindakan itu diperluaskan secara berperingkat ke pintu masuk antarabangsa lain berdasarkan tahap ancaman, keperluan operasi dan kesesuaian setiap lokasi.

KDN dan MoT menegaskan pelaksanaan semua syor akan dibuat secara profesional, berintegriti dan berlandaskan undang-undang, dengan mengambil kira hak individu, perlindungan data serta kepentingan penumpang dan industri penerbangan.

Langkah itu diharap dapat memperkukuh keselamatan negara, meningkatkan integriti pintu masuk antarabangsa serta mengekalkan keyakinan rakyat, pelancong dan komuniti penerbangan antarabangsa terhadap sistem keselamatan Malaysia.

Related Posts

Malaysia Berselawat himpun hampir 1,000 jemaah, tampilkan tokoh ulama dunia

PUTRAJAYA – Hampir 1,000 jemaah menghadiri program Malaysia Berselawat sempena sambutan Maulidurrasul dan Hari Kebangsaan di Kompleks Nasyrul Quran di sini, malam tadi. Program anjuran Yayasan Restu Nasyrul Quran dengan…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Hukuman rasuah perlu lebih tegas, bersifat mandatori – Ibrahim Ali

PUTRAJAYA – Hukuman terhadap kesalahan rasuah perlu dikaji semula dan ditetapkan secara lebih tegas termasuk bersifat mandatori bagi memastikan ia benar-benar memberi kesan pencegahan, kata Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Bursa Malaysia kembali kukuh susulan pemulihan Wall Street

Bursa Malaysia kembali kukuh susulan pemulihan Wall Street

Syarikat telco diminta jelaskan isu ratusan nombor atas satu nama – Fahmi

Syarikat telco diminta jelaskan isu ratusan nombor atas satu nama – Fahmi

KLIA lokasi perintis, 17 langkah perkukuh keselamatan pintu masuk negara diluluskan

KLIA lokasi perintis, 17 langkah perkukuh keselamatan pintu masuk negara diluluskan

Kelonggaran e-Invois bukti kerajaan faham realiti dihadapi PMKS

Kelonggaran e-Invois bukti kerajaan faham realiti dihadapi PMKS

Warga emas hilang di Sri Aman ditemukan selamat oleh penduduk kampung

Warga emas hilang di Sri Aman ditemukan selamat oleh penduduk kampung

IPD Kuching, JaPen Sarawak edar kit Jalur Gemilang sempena Bulan Kebangsaan

IPD Kuching, JaPen Sarawak edar kit Jalur Gemilang sempena Bulan Kebangsaan