Syarikat telco diminta jelaskan isu ratusan nombor atas satu nama – Fahmi

PETALING JAYA – Syarikat telekomunikasi (telco) yang didakwa mendaftarkan jumlah talian secara berlebihan bagi tujuan penipuan atau scam wajib memberikan penjelasan berhubung perkara terbabit selewat-lewatnya petang ini.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, penjelasan itu susulan kebimbangan nombor telefon yang didaftarkan disalahgunakan untuk tujuan tidak baik, termasuk kegiatan penipuan dalam talian (scam).

“Saya minta nanti CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) kepada syarikat telco tersebut memberi penjelasan. Sebelum penghujung hari ini, saya nak CEO kepada syarikat telco tersebut memberi penjelasan penuh tentang perkara ini.

“Syarikat telco ini tidak boleh lagi berdiam diri. Saya akan panggil mereka untuk datang berjumpa saya dan beri penjelasan penuh tentang perkara ini. Kita telah menggunakan beberapa sekatan, termasuk pendaftaran bagi talian prabayar perlu disahkan menggunakan MyDigital ID.

“Ini penting kerana kita dapati ada sejumlah nombor telefon yang didaftarkan akhirnya untuk tujuan yang tidak baik dan disalahgunakan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Nasional Kesedaran Anti-Scam 2026, pada Khamis.

Hadir sama, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, proses pendaftaran nombor telefon perlu dilakukan dengan lebih ketat bagi mengelakkan identiti pemilik kad pengenalan disalahgunakan pihak lain.

Sehubungan itu, beliau memberi jaminan akan meneliti dan mengesahkan maklumat berhubung dakwaan berkenaan sebelum mengambil tindakan sewajarnya.

“Kadangkala keluarga warga asing, kadangkala orang yang tidak dikenali atau individu yang menyerahkan MyKad dan sebagainya. Usaha menangani jenayah penipuan memerlukan kerjasama semua pihak, termasuk agensi kerajaan dan sektor swasta.

“Kerajaan turut memulakan usaha menerusi jawatankuasa kerja rentas agensi membabitkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC), Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Jabatan Imigresen (JIM), Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) serta syarikat telco,” katanya.

Dalam pada itu, Fahmi mengarahkan kempen Internet Selamat dipercepat dan diperluaskan ke lebih banyak kawasan termasuk pinggir bandar serta kampung bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai ancaman scam.

Beliau berkata, usaha itu perlu melibatkan komuniti setempat termasuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), persatuan penduduk serta kumpulan kejiranan sehingga ke peringkat akar umbi.

“Saya minta supaya dua perkara disusuli. Pertama, PPIM sediakan satu kertas kerja untuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan saya akan minta supaya kita fast track kempen Internet Selamat untuk bantu melaksanakan kempen seperti ini di lebih banyak tempat.

“Kita perlu meningkatkan kesedaran dan melaksanakan proses libat urus termasuk dengan PIBG, persatuan penduduk, kumpulan kejiranan hingga ke peringkat akar umbi,” katanya.

Menurut beliau, capaian internet yang semakin meluas sehingga ke kawasan terpencil turut memberi peluang kepada scammer menyasarkan mangsa tanpa perlu berada di lokasi berkenaan.

“Bila kita sediakan internet sampai ke kampung-kampung yang terpencil, maksudnya scammer pun sudah boleh pergi ke kampung-kampung yang terpencil tanpa meninggalkan tempat kerja mereka.

“Jadi usaha untuk menangani scam ini memerlukan kerjasama daripada pelbagai pihak,” katanya.

Terdahulu, Nadzim dalam ucapannya mendakwa syarikat telco antara pihak yang perlu diberi perhatian dalam usaha membendung kegiatan scam susulan dakwaan pendaftaran nombor telefon secara berlebihan menggunakan nama individu.

Beliau berkata, hasil siasatan PPIM mendapati terdapat individu yang tidak menyedari sejumlah besar talian telefon didaftarkan menggunakan nama mereka.

“Kita buat siasatan, kebanyakan kejadian scam sebenarnya `kepala pengat’ adalah telco. Mereka buat kerja suka hati sahaja, mahu duit, daftar, untuk kita bayar, yang ditipu kita.

“Ada yang terkini, seorang pakcik berumur lebih 70 tahun tiba-tiba dia tahu ada 18 talian didaftarkan di bawah namanya. Ada satu nama tapi ada 400 nombor guna namanya,” katanya.

Related Posts

Hukuman rasuah perlu lebih tegas, bersifat mandatori – Ibrahim Ali

PUTRAJAYA – Hukuman terhadap kesalahan rasuah perlu dikaji semula dan ditetapkan secara lebih tegas termasuk bersifat mandatori bagi memastikan ia benar-benar memberi kesan pencegahan, kata Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia…

Lebih lanjut

teruskan membaca
e-Invois bantu tingkat pematuhan, kukuhkan kutipan cukai

PUTRAJAYA – Pelaksanaan e-Invois merupakan antara langkah strategik dalam memperkukuh sistem percukaian negara, selain menyokong pendigitalan ekosistem perniagaan ke arah pengurusan transaksi yang lebih cekap, sistematik dan telus. Bagaimanapun, peralihan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Bursa Malaysia kembali kukuh susulan pemulihan Wall Street

Bursa Malaysia kembali kukuh susulan pemulihan Wall Street

Syarikat telco diminta jelaskan isu ratusan nombor atas satu nama – Fahmi

Syarikat telco diminta jelaskan isu ratusan nombor atas satu nama – Fahmi

KLIA lokasi perintis, 17 langkah perkukuh keselamatan pintu masuk negara diluluskan

KLIA lokasi perintis, 17 langkah perkukuh keselamatan pintu masuk negara diluluskan

Kelonggaran e-Invois bukti kerajaan faham realiti dihadapi PMKS

Kelonggaran e-Invois bukti kerajaan faham realiti dihadapi PMKS

Warga emas hilang di Sri Aman ditemukan selamat oleh penduduk kampung

Warga emas hilang di Sri Aman ditemukan selamat oleh penduduk kampung

IPD Kuching, JaPen Sarawak edar kit Jalur Gemilang sempena Bulan Kebangsaan

IPD Kuching, JaPen Sarawak edar kit Jalur Gemilang sempena Bulan Kebangsaan