
KUCHING – Tujuh jalan utama di sekitar bandar raya ini akan ditutup secara berperingkat pada Sabtu ini bagi memberi laluan kepada Program Islamic Information Centre Cares@Peace: Harmony Walk 2026.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, penutupan bermula jam 6 pagi hingga 10 pagi itu dilaksanakan bagi melancarkan pergerakan lalu lintas berikutan jangkaan penyertaan lebih 3,000 individu di Waterfront Kuching.
Beliau menjelaskan, penutupan jalan itu merangkumi Jalan Haji Taha menghala ke Jalan Market, Jalan Tun Abang Haji Openg menghala ke Padang Merdeka, dan Jalan Barrack menghala ke Balai Polis Sentral. Turut ditutup ialah lampu isyarat St Mary menghala ke Jalan McDougall, Jalan Temple, Jalan Old Court House, serta Jalan Main Bazaar menghala ke Jalan Lebuh Wayang.
“Bagi mengurangkan kesesakan, orang awam dari arah Jalan Tabuan dinasihatkan menggunakan Jalan Central Timur atau Jalan Ban Hock, manakala kenderaan dari Jalan Haji Taha boleh membuat pusingan ‘U’ di bulatan Masjid Bahagian,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Pengguna dari arah Jalan Padungan pula disaran melalui Jalan Abell atau Jalan Borneo bagi mengelakkan kesesakan di Jalan Temple.
Dalam pada itu, pihak polis menasihatkan peserta dan orang awam agar meletakkan kenderaan di kawasan yang dikhaskan seperti Medan Pelita, Plaza Aurora, Plaza Merdeka, Hikmah Exchange, Kompleks Islam Sarawak, dan tempat letak kenderaan di Borneo Cultures Museum.
Orang ramai dilarang meletakkan kenderaan di bahu jalan dan digesa untuk merancang perjalanan serta memilih laluan alternatif yang disyorkan.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kuching di talian 082-259900.





