
PUTRAJAYA – Usaha penstrukturan semula yang dilaksanakan Tabung Haji (TH) sejak beberapa tahun lalu memberi asas yang lebih kukuh kepada institusi itu untuk beroperasi secara mampan demi menjaga kepentingan pendeposit serta bakal jemaah haji.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, langkah pembaharuan dan penambahbaikan yang dilaksanakan TH sejak penghujung 2018 dilihat berjaya memperkukuh kedudukan kewangan, tadbir urus serta daya tahan institusi itu dalam menguruskan simpanan jutaan pendeposit di negara ini.
Menurut beliau, antara langkah yang diperkenalkan ialah meningkatkan syarat simpanan minimum kepada RM15,000 bagi melayakkan pendeposit menerima tawaran menunaikan haji, sekali gus menggalakkan budaya menabung secara konsisten dalam kalangan bakal jemaah.
“Langkah itu selaras dengan prinsip istito’ah, iaitu kemampuan untuk menunaikan ibadah Haji dari segi kewangan, fizikal dan rohani dalam keadaan yang selamat dan Sejahtera, selain membantu bakal jemaah membuat persediaan kewangan dan membina simpanan yang lebih kukuh sebelum menunaikan ibadah Haji.
“Langkah ini menunjukkan satu perkara penting, bagi sebuah institusi menguruskan simpanan jutaan pendeposit, laporan kewangan perlu lebih telus, disampaikan secara konsisten dan bertanggungjawab.
“Ini penting supaya para pendeposit dan pihak berkepentingan dapat memahami kedudukan kewangan TH dengan jelas serta mempunyai keyakinan terhadap keupayaan TH untuk terus kukuh dan mampan dalam jangka Panjang,” katanya menerusi kenyataan, pada Rabu.
Mengulas lanjut, Mohd Afzanizam berkata, aspek ketelusan laporan kewangan turut diberikan perhatian apabila TH memastikan pematuhan kepada Akta Tabung Haji, termasuk keperluan memastikan jumlah aset melebihi liabiliti sebelum sebarang agihan keuntungan dibuat kepada pendeposit.
“Satu lagi penambahbaikan penting dalam tadbir urus TH adalah memastikan agihan keuntungan dibuat berdasarkan keputusan kewangan yang telah diaudit. Amalan ini telah dilaksanakan oleh TH sejak 2022, dengan pengumuman agihan keuntungan dibuat selepas penyata kewangan selesai diaudit dan dimuktamadkan.
“TH turut menggunakan piawaian perakaunan yang lebih kukuh, termasuk merekodkan penurunan nilai pelaburan dengan lebih jelas dan telus. Pendekatan ini membantu memberikan gambaran lebih jelas mengenai kedudukan kewangan sebenar institusi itu kepada pendeposit dan pihak berkepentingan,” katanya.

Mengulas pelan pemulihan dan penstrukturan semula TH pada 2018, Mohd Afzanizam berkata, langkah itu melibatkan pemindahan aset bernilai RM9.7 bilion kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB), syarikat tujuan khas yang ditubuhkan kerajaan bagi membantu menyusun semula kedudukan aset dan liabiliti TH.
Jelasnya, pendekatan itu turut melindungi kepentingan pendeposit selain memastikan TH mempunyai asas kewangan lebih kukuh untuk bergerak ke hadapan, dengan sebarang keputusan mendapatkan semula aset dibuat berdasarkan pertimbangan komersial dan nilai strategik.
“TH turut mengekalkan hak untuk membuat tawaran pertama sekiranya aset ITU ingin dijual semula. Namun, sebarang keputusan mendapatkan semula aset, termasuk tanah di Tun Razak Exchange (TRX) dan UJ Estates, dibuat berdasarkan penilaian komersial serta nilai strategik aset tersebut, bukannya secara automatik.
“Hasil pelbagai penambahbaikan dapat dilihat melalui kedudukan kewangan TH yang semakin kukuh serta pengukuhan tadbir urusnya. Kadar agihan keuntungan menunjukkan peningkatan berperingkat, daripada 1.25 peratus bagi tahun kewangan 2018 kepada 3.05 peratus pada 2019, 3.10 peratus bagi tempoh 2020 hingga 2023, 3.25 peratus pada 2024 dan seterusnya 3.50 peratus bagi 2025. Itu mencerminkan peningkatan keupayaan kewangan TH semakin baik.
“Bagi tahun kewangan 2025, TH mengagihkan keuntungan sebanyak 3.50 peratus, kadar tertinggi dalam tempoh lapan tahun, berjumlah RM3.22 bilion dan memberi manfaat pada lebih 9.7 juta pendeposit. Menurut Pengerusi TH, pencapaian terbaik dalam tempoh lapan tahun ini didorong strategi pelaburan berdisiplin serta tadbir urus semakin kukuh,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, sejak penubuhannya lebih enam dekad lalu, TH telah mengagihkan keuntungan terkumpul sebanyak RM49 bilion kepada para pendeposit, sekali gus membuktikan peranan penting institusi itu dalam membantu umat Islam menyimpan dan mengurus kewangan bagi tujuan menunaikan ibadah haji.
Menurutnya, pembaharuan yang dilaksanakan sejak 2018 turut merangkumi penstrukturan aset, penambahbaikan pelaporan kewangan, pengukuhan proses tadbir urus dan pendekatan lebih berdisiplin dalam pengurusan keuntungan, sejajar dengan syor yang diketengahkan menerusi semakan bebas termasuk Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).
“Pembaharuan ini menunjukkan komitmen TH untuk terus melakukan penambahbaikan, mengutamakan ketelusan dan menguruskan amanah dengan penuh tanggungjawab. Tumpuan utama adalah untuk membina sebuah institusi yang semakin kukuh, berdaya tahan dan mempunyai tadbir urus yang baik,
“Ini supaya simpanan jutaan pendeposit terus dilindungi, keyakinan masyarakat terhadap TH terus diperkukuh dan TH dapat terus membantu rakyat Malaysia merealisasikan hasrat untuk menunaikan ibadah Haji untuk generasi akan datang.Bagi sebuah institusi yang diamanahkan menguruskan simpanan jutaan rakyat Malaysia, pemantauan dan penilaian secara berterusan sememangnya penting.
“Namun, penilaian TH wajar dibuat berdasar keseluruhan rekod yang ada, termasuk cabaran yang dikenal pasti, pembaharuan telah dilaksanakan serta kemajuan yang dicapai, selain TH keupayaannya untuk terus melindungi simpanan pendeposit, membantu rakyat menunaikan ibadah Haji serta memastikan ia terus kukuh dari segi kewangan, dipercayai dan mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada generasi akan datang,” katanya.






