
KUCHING – Pelaksanaan Dasar Hari Bekerja Hibrid (HBH) bagi penjawat awam bermula 1 Ogos lalu bukanlah satu tiket percuma untuk meluaskan percutian hujung minggu, sebaliknya ia menuntut tahap integriti dan kebertanggungjawaban yang tinggi.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, kemudahan bekerja secara fleksibel merangkumi tiga hari di pejabat dan dua hari dari rumah itu diperkenalkan bagi memantapkan produktiviti.
Menurut beliau, norma baharu penyampaian perkhidmatan awam itu merupakan wacana moden yang turut menyokong inisiatif penjimatan sumber negara tanpa mengorbankan kualiti khidmat kepada rakyat.
“Asas utama HBH adalah integriti, kebertanggungjawaban dan kepercayaan.
“Fleksibiliti ini datang bersama tanggungjawab yang besar dan kerja hibrid bukannya tiket untuk meluaskan cuti hujung minggu,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Integriti Sarawak 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Rabu.
Dalam perkembangan berkaitan tatakelola negara, Shamsul Azri turut berkongsi kejayaan cemerlang Malaysia di peringkat global hasil dorongan agresif Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) dan inisiatif Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB).
Jelasnya, Laporan Penarafan Daya Saing Dunia (IMD) 2026 memaparkan kedudukan Malaysia melonjak lapan anak tangga ke kedudukan ke-15 daripada 70 ekonomi dunia.
Pencapaian tersebut sekali gus merekodkan prestasi terbaik dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini dan meletakkan Malaysia sebagai negara kedua paling berdaya saing di ASEAN di belakang Singapura.
“Setakat ini, sebanyak 447 projek RKB telah disiapkan yang merekodkan anggaran penjimatan kos pematuhan sebanyak RM2.95 bilion,” katanya.






