KUALA LUMPUR – Demi membanteras kes denggi di negara ini, antara cadangan yang akan diteliti ialah mengadakan program gotong-royong mega bersempena dengan Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) 2026 pada Oktober ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, kementeriannya akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Perpaduan Negara (KPN) serta Kementerian Kesihatan (KKM) bagi meneliti kerjasama lebih erat menerusi program membabitkan komuniti.
Menurut beliau, usaha itu akan dilaksanakan secepat mungkin berikutan jangkaan peningkatan curahan hujan ketika musim monsun pada Oktober hingga Disember yang boleh mewujudkan lebih banyak tempat pembiakan nyamuk aedes.
“Saya akan bercakap dan berbincang dengan Menteri Perpaduan (Datuk Aaron Ago Dagang) memandangkan Rukun Tetangga berada di bawah kementerian itu bagi meneliti kerjasama yang lebih erat bersama dengan pihak KKM dalam usaha mengadakan gotong-royong.
“Mungkin bersempena dengan Bulan Kesiapsiagaan pada Oktober ini sesuai untuk diadakan satu gotong-royong mega, tertakluk kepada perancangan pihak Kementerian Perpaduan dan Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) sendiri,” katanya kepada media selepas merasmikan program Gotong-royong Mega Perangi Aedes di kawasan Lembah Pantai, pada Ahad.
Mengulas lanjut, Fahmi yang juga jurucakap kerajaan memaklumkan, langkah berkenaan penting berikutan jumlah kes denggi yang direkodkan setakat ini membimbangkan.
Beliau berkata, program seperti gotong-royong dapat membantu mewujudkan perubahan sikap dalam kalangan penduduk bagi memastikan kebersihan persekitaran dipelihara secara berterusan.
“Berdasarkan maklumat yang dikumpulkan Pejabat Kesihatan Daerah Lembah Pantai, jumlah kumulatif sebanyak 52,123 kes denggi direkodkan di seluruh negara sehingga minggu epidemik ke-30 tahun ini.
“Bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, jumlahnya ialah 9,465 kes, manakala bagi Lembah Pantai, Bukit Bintang dan Seputeh, jumlahnya ialah 2,779 kes sehingga kini. Jadi angka-angka ini agak merisaukan,” katanya.
Mengenai langkah membanteras Aedes di kawasan Lembah Pantai, Fahmi menjelaskan, pihaknya akan berbincang dengan Pejabat Kesihatan Daerah Lembah Pantai untuk melaksanakan pendekatan menggunakan peralatan semburan berkala di kawasan perumahan yang terjejas.
Beliau yang juga Ahli Lembah Pandai berkata, pendekatan itu membabitkan penempatan peralatan semburan di lokasi tertentu untuk digunakan secara berkala sepanjang tahun, dengan kerjasama pihak swasta, Pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai, Pejabat Kesihatan Daerah Lembah Pantai serta badan pengurusan (MC) di kawasan perumahan berkenaan.
“Kita nampak bila dilaksanakan sebelum ini di beberapa tempat, ia berjaya mengurangkan masalah jangkitan denggi. Bagi Lembah Pantai, kita berhasrat untuk melaksanakan di PPR Kampung Limau dengan kerjasama, insya-Allah, pemaju berdekatan, juga di Desa Aman 2 dan di Kondo Rakyat,” katanya.







