Pasca PRN Negeri Sembilan: Apabila persepsi mengatasi prestasi

KEPUTUSAN Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan memperlihatkan satu lembaran baharu dalam politik nasional bahawa prestasi pentadbiran kerajaan yang berkualiti bukan lagi kekuatan untuk Pakatan Harapan (PH) menakluk kemenangan pilihan raya.

Kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) di bawah pimpinan Datuk Seri Aminuddin Harun telah membuktikan pelbagai pencapaian rekod dari sudut kestabilan politik, pembangunan ekonomi, kebajikan rakyat dan pengurusan kewangan yang relatif baik, namun ‘peluru politik; dimainkan pihak lawan menyebabkan sebahagian besar pengundi telah beralih angin.

Kekalahan PH daripada 17 kerusi kepada hanya 11 kerusi tidak boleh dilihat semata-mata sebagai referendum terhadap prestasi kerajaan negeri, sebaliknya, keputusan itu lebih mencerminkan kejayaan lawan membentuk naratif bahawa PH semakin didominasi DAP, selain kedudukan Melayu dan Islam semakin terancam di bawah gabungan parti terbabit.

Fakta paling menarik ialah PH masih memperoleh undi paling banyak sebagai satu blok, iaitu 256,386 undi atau 40.2 peratus, mengatasi Barisan Nasional (BN) secara bersendirian khsususnya di kawasan bandar dan bukan Melayu namun kali ini gagal mempertahankan pengaruhnya di kawasan majoriti Melayu serta kerusi campuran.

Lebih signifikan, kesemua 22 calon Melayu PH tewas, manakala 11 kerusi yang dimenangi gabungan itu diwakili calon bukan Melayu. Keputusan ini memberikan gambaran jelas mengenai jurang persepsi yang semakin melebar antara PH dengan sebahagian pengundi Melayu.

Hakikatnya, sepanjang dua penggal pentadbiran PH di Negeri Sembilan, tidak berlaku sebarang krisis besar melibatkan hubungan kaum atau agama, malah kerajaan negeri terus melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan, pemerkasaam ekomomi, pelaburan selain bantuan kebajikan tanpa mengira kaum manun pencapaian itu gagal menandingi kekuatan naratif politik identiti yang dimainkan secara konsisten sepanjang tempoh kempen.

Fenomena ini mencerminkan pilihan raya moden semakin dipengaruhi oleh politik persepsi berbanding politik prestasi, di mana jika sesuatu naratif yang diulang secara berterusan sering kali lebih berkesan daripada fakta dan angka pencapaian kerajaan.

Persepsi bahawa undi kepada PH adalah undi kepada DAP, serta dakwaan bahawa kepentingan Melayu serta Islam semakin terancam, berjaya membentuk sentimen yang sukar ditepis meskipun tidak semestinya disokong oleh realiti pentadbiran negeri.

Kejayaan kerjasama tidak rasmi antara BN dan Perikatan Nasional (PN) turut memperkukuh sentimen tersebut. Ketiadaan pertembungan besar antara kedua-dua blok menyebabkan undi pro-Melayu yang sebelum ini berpecah berjaya disatukan, di mana formula itu bukan sahaja mengurangkan perpecahan undi, malah mewujudkan persepsi bahawa hanya gabungan BN-PN mampu menjadi benteng kepada agenda Melayu-Islam.

Dalam konteks ini, PH berdepan cabaran besar untuk menjelaskan kedudukannya kepada pengundi Melayu. Walaupun PKR dan AMANAH merupakan parti teras Melayu dalam gabungan itu, persepsi bahawa PH didominasi DAP terus mengatasi usaha kedua-dua parti berkenaan.

Malah, kekalahan semua calon Melayu PH memberi isyarat bahawa masalah utama gabungan itu bukan sekadar organisasi atau jentera, tetapi melibatkan keyakinan dan penerimaan politik dalam kalangan pengundi Melayu.

Kekalahan beberapa tokoh utama dan keputusan di kerusi marginal juga memperlihatkan betapa kuatnya pengaruh sentimen berbanding faktor pembangunan setempat.

Di banyak kawasan, isu nasional berkaitan kaum, agama dan identiti lebih dominan berbanding perbahasan mengenai pencapaian kerajaan negeri dalam aspek ekonomi, pelaburan, peluang pekerjaan atau kesejahteraan rakyat.

Perkembangan ini turut membuktikan bahawa pendedahan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji serta pelbagai isu yang dibangkitkan terhadap pihak lawan tidak berjaya mengubah corak pengundian.

Pengundi yang telah membentuk pendirian berdasarkan identiti politik dan sentimen kaum-agama cenderung mengekalkan pilihan mereka walaupun berdepan pelbagai fakta atau pendedahan baharu.

Sehubungan itu, wujud keperluan untuk PH melaksana bedah siasat pasca pilihanya dan tidak menyalahkan sentimen perkauman semata-mata kerana perkara negatif tidak akan menyelesaikan masalah sekiranya gabungan itu gagal memahami mengapa naratif tersebut mudah diterima oleh sebahagian besar pengundi Melayu.

Persoalan utama bukan sekadar kewujudan propaganda lawan, tetapi mengapa propaganda itu lebih dipercayai berbanding rekod pentadbiran yang telah dibuktikan selama lapan tahun.

PH juga perlu menilai semula strategi komunikasi politiknya. Pencapaian kerajaan negeri tidak cukup sekadar dilaksanakan, sebaliknya perlu diterjemahkan dalam bahasa yang dekat dengan emosi, aspirasi dan kebimbangan rakyat.

Kegagalan menguasai ruang persepsi menyebabkan banyak kejayaan pentadbiran tenggelam di sebalik naratif identiti yang dimainkan secara agresif.

Dari sudut lebih luas, keputusan Negeri Sembilan memberi amaran bahawa politik Malaysia sedang memasuki fasa di mana faktor kaum, agama dan persepsi identiti kembali menjadi penentu utama tingkah laku pengundi.

Sekiranya trend ini berterusan, mana-mana kerajaan yang bergantung semata-mata kepada rekod prestasi tanpa mengurus persepsi politik secara berkesan berisiko menerima nasib yang sama.

Justeru, pengajaran terbesar daripada PRN Negeri Sembilan bukanlah bahawa PH gagal mentadbir, tetapi bahawa kejayaan mentadbir sahaja tidak lagi mencukupi untuk memenangi pilihan raya.

Dalam landskap politik hari ini, pertarungan sebenar bukan sekadar mengenai siapa yang membina lebih banyak pembangunan atau menyediakan lebih banyak bantuan, tetapi siapa yang berjaya menguasai persepsi pengundi mengenai identiti, masa depan dan rasa kebersamaan mereka dalam negara.

Related Posts

LDP Sandakan sedia rebut semula kepercayaan pengundi

SANDAKAN – Parti Liberal Demokratik (LDP) Sandakan menegaskan kesediaannya untuk bertanding di Parlimen Sandakan pada pilihan raya akan datang. Naib Presiden LDP merangkap Ketua Bahagian Tanjong Papat dan Elopura, Chong…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Pas, PN perlu buktikan kemampuan tadbir negara, bukan sekadar retorik – Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Paduka Dr Ibrahim Ali mempersoalkan kemampuan Pas dan Perikatan Nasional (PN) untuk mentadbir negara sekiranya memenangi Pilihan Raya Umum ke-16…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

RM1.57 bilion perkukuh pembangunan kesihatan Sabah

RM1.57 bilion perkukuh pembangunan kesihatan Sabah

PH akan teliti mesej Kongres PKR, Persidangan DAP – Fahmi

PH akan teliti mesej Kongres PKR, Persidangan DAP – Fahmi

Polis sahkan kedai emas Genting Highlands dirompak

Polis sahkan kedai emas Genting Highlands dirompak

LDP Sandakan sedia rebut semula kepercayaan pengundi

  • By Fandi
  • August 17, 2026
LDP Sandakan sedia rebut semula kepercayaan pengundi

RM57.5 bilion dalam separuh tahun, KWSP catat lonjakan 48 peratus

RM57.5 bilion dalam separuh tahun, KWSP catat lonjakan 48 peratus

MBSA sedia 300 hidangan percuma di Seksyen 24 esok

MBSA sedia 300 hidangan percuma di Seksyen 24 esok