
KAPIT – Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.61 Pelagus, Wilson Nyabong Ijang menafikan spekulasi bahawa beliau akan bertanding sebagai calon bebas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, sekali gus mengumumkan secara rasmi tidak akan mempertahankan kerusi berkenaan.
Pengerusi Parti Rakyat Sarawak (PRS) Bahagian Pelagus itu berkata, keputusan tersebut diambil demi kestabilan politik, keutuhan parti serta kelangsungan agenda pembangunan di Pelagus dan Sarawak secara keseluruhan.
Beliau mengakui pada peringkat awal wujud hasrat serta desakan daripada akar umbi yang mahukan beliau terus mempertahankan kerusi berkenaan pada pilihan raya negeri kali ini.
“Saya akui bahawa pada mulanya terdapat hasrat dan desakan daripada peringkat akar umbi agar saya terus mempertahankan kerusi DUN N.61 Pelagus pada PRN-13. Malah, saya amat menghargai kepercayaan dan sokongan yang telah dizahirkan kepada saya,” katanya menerusi kenyataan media pada Jumaat.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan ketetapan untuk tidak bertanding dicapai selepas mengambil kira pelbagai pertimbangan selain mengadakan perbincangan bersama ahli jawatankuasa PRS Bahagian Pelagus serta mendengar pandangan akar umbi, ketua masyarakat dan ketua kaum.
Sehubungan itu, Wilson berkata beliau menerima dengan hati terbuka serta menghormati keputusan pucuk pimpinan PRS, khususnya keputusan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) merangkap Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau yang berkhidmat selama dua penggal sebagai wakil rakyat DUN Pelagus sejak 2016 turut merakamkan penghargaan kepada seluruh masyarakat Pelagus, kepimpinan PRS Bahagian Pelagus, ketua masyarakat dan ketua kaum atas kepercayaan yang diberikan sepanjang tempoh perkhidmatannya.
Penghargaan sama turut ditujukan kepada rakan wakil rakyat khususnya Ahli Parlimen P.215 Kapit dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan berdekatan, pentadbiran Bahagian Kapit, jabatan serta agensi kerajaan negeri dan persekutuan selain pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atas kerjasama menjayakan agenda pembangunan di Pelagus serta Bahagian Kapit.
Menurutnya, segala pencapaian sepanjang dua penggal perkhidmatannya bukan usaha beliau seorang diri, sebaliknya hasil komitmen kolektif semua pihak, di samping menyifatkan amanah rakyat Pelagus sebagai satu penghormatan besar.
“Walaupun saya tidak akan mempertahankan kerusi ini, komitmen dan keprihatinan saya terhadap kesejahteraan rakyat serta pembangunan Pelagus tidak akan terhenti di sini.
“Saya akan terus menyokong kepimpinan Premier Sarawak serta agenda pembangunan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) demi kemajuan dan kemakmuran Sarawak,” katanya.
Beliau turut mengucapkan selamat maju jaya dan selamat berkempen kepada semua calon GPS khususnya daripada PRS yang bakal bertanding pada PRN Sarawak ke-13.



