LAPORAN Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji membuka satu lembaran penting dalam sejarah pengurusan institusi kewangan umat Islam di negara ini.
Lebih daripada sekadar menghuraikan isu tadbir urus, laporan tersebut membawa satu pengajaran besar kepada rakyat Malaysia tentang bahaya apabila sesuatu isu dijadikan senjata politik tanpa bersandarkan fakta dan kebenaran.
Menurut Naib Prediden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar berkata, selama bertahun-tahun, isu Tabung Haji menjadi bahan polemik politik.
Katanya, ketika kerajaan Pakatan Harapan melaksanakan proses penyusunan semula Tabung Haji pada tahun 2019 bagi memulihkan kedudukan kewangannya, pelbagai tuduhan dilemparkan oleh pihak pembangkang ketika itu, khususnya UMNO dan Pas.
“Antara dakwaan yang paling kerap dimainkan ialah kononnya aset Tabung Haji dijual kepada pihak bukan Islam.
“Naratif tersebut disebarkan secara meluas sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan pendeposit dan masyarakat Islam.
“Ramai yang bimbang terhadap masa depan simpanan mereka, sedangkan tuduhan tersebut akhirnya tidak disokong oleh fakta yang kini didedahkan melalui laporan RCI,” katanya.
Jelasnya lagi, laporan RCI memberi ruang kepada rakyat untuk menilai semula apa yang pernah diperkatakan selama ini.
Dalam sebuah negara demokrasi yang matang, perbezaan pendapat adalah perkara biasa.
Namun, perbahasan politik mesti berasaskan bukti, data dan fakta, bukannya persepsi yang dibina melalui fitnah atau ketakutan.
“Hakikatnya, fitnah bukan sahaja mencemarkan nama individu atau institusi, malah menghakis keyakinan masyarakat terhadap sistem yang dibina selama puluhan tahun.
“Orang Melayu telah lama mengingatkan melalui peribahasa, ‘kerana nila setitik, rosak susu sebelanga’.
“Begitulah juga fitnah. Satu tuduhan yang tidak benar mampu meruntuhkan kepercayaan yang mengambil masa bertahun-tahun untuk dibina,” ujarnya.
Kata Mahfuz lagi, dalam kehidupan seharian masyarakat kampung, ada satu perumpamaan yang mudah difahami.
Katanya, jika seseorang menabur paku di atas jalan, bukan hanya orang lain yang akan menjadi mangsa. Anak sendiri juga boleh terpijak.
“Politik fitnah mempunyai kesan yang sama. Apabila budaya menyebarkan tuduhan tanpa asas menjadi kebiasaan, akhirnya seluruh masyarakat akan menanggung akibatnya.
“Oleh sebab itu, rakyat tidak seharusnya memajak akal fikiran kepada mana-mana ahli politik.
“Sawah boleh dipajak, kebun boleh dipajak dan rumah boleh disewa. Namun akal fikiran tidak boleh dipajak kepada sesiapa,” ujarnya.
Menurutnya lagi, apabila akal dipajak, manusia berhenti bertanya.
“Mereka berhenti menilai dan menyemak. Mereka akhirnya mudah mempercayai apa sahaja yang membangkitkan emosi dan ketakutan.
“Sedangkan Allah SWT mengurniakan akal supaya manusia mampu membezakan antara benar dan salah, antara fakta dan fitnah.
“Menjelang pilihan raya, rakyat seharusnya membuat keputusan berdasarkan rekod pentadbiran, dasar yang ditawarkan dan fakta yang boleh disemak.
“Pilihan raya bukan pertandingan siapa yang paling kuat memainkan sentimen atau menakut-nakutkan masyarakat, tetapi medan untuk menentukan hala tuju negeri dan negara,” katanya.
Menurut Mahfuz, hari ini adakah kita mahu terus mengamalkan politik yang memelihara ketakutan, atau kita memilih politik yang membina harapan, memperkukuh amanah dan menghormati kebenaran?
“Pengajaran daripada RCI Tabung Haji sepatutnya menjadi iktibar kepada semua pihak. Politik fitnah tidak pernah membawa manfaat kepada negara.
“Sebaliknya, ia hanya memecah-belahkan masyarakat dan melemahkan keyakinan rakyat terhadap institusi yang sepatutnya dipelihara bersama,” ujarnya.
Akhirnya, kata Mahfuz, setiap kertas undi bukan sekadar memilih seorang calon. Ia adalah suara rakyat untuk menentukan budaya politik yang ingin diwariskan kepada generasi akan datang.
“Sama ada politik yang membina perpaduan dan kemajuan, ataupun politik yang terus hidup dengan fitnah dan perpecahan.
“Jangan menabur paku di jalan demokrasi. Kelak seluruh rakyat akan menanggung lukanya.
“Sejarah akhirnya akan menilai bahawa fitnah mungkin mampu meraih sorakan buat sementara waktu, tetapi kebenaran tetap menjadi pemenang yang kekal,” katanya.





