
KUALA LUMPUR – Kerajaan MADANI tidak akan mencampuri urusan pengurusan profesional Permodalan Nasional Bhd (PNB) bagi memastikan institusi pelaburan itu terus diuruskan secara telus dan berintegriti.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kebebasan institusi pelaburan dan perbankan daripada campur tangan politik merupakan prinsip penting pentadbirannya bagi mengelakkan berulangnya episod ketirisan serta salah urus dana awam seperti yang pernah berlaku membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Tabung Haji dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).
“Kita tak campur urusan mereka, ini kekuatan Kerajaan MADANI. Biar pengurusnya uruskan, biar banknya diuruskan oleh mereka, jangan kita campur.
“Bila orang politik campur, lebih banyak kerosakan akan berlaku sepertimana yang pernah berlaku sebelumnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2026 di Stadium Merdeka, di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh; Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Raja Arshad Raja Tun Uda.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, amalan menabung dalam kalangan rakyat, khususnya generasi muda, tidak akan membawa manfaat sekiranya dana yang dikumpulkan disalahgunakan oleh pihak yang diberikan amanah untuk menguruskannya.
“Buat apa kita menabung kalau yang menguruskan itu khianat? Apa ertinya Minggu Saham kalau saham itu, kemudian kumpulan wang itu diamanahkan kepada orang tidak bertanggungjawab?” katanya.
Beliau turut mendedahkan Kementerian Kewangan masih menanggung komitmen kira-kira RM980 juta setahun bagi melunaskan hutang FELDA susulan salah urus terdahulu.
Selain itu, negara turut menanggung kerugian puluhan bilion ringgit membabitkan 1MDB serta kira-kira RM10 bilion berkaitan isu Tabung Haji.



