KUALA LUMPUR – Peralihan kepada tenaga bersih bukan lagi sekadar agenda alam sekitar, sebaliknya menjadi keperluan strategik bagi menjamin keselamatan tenaga, daya saing ekonomi dan ketahanan negara berdepan ketidaktentuan geopolitik dunia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, konflik yang semakin memuncak di Asia Barat telah mengganggu rantaian bekalan tenaga global, sekali gus membuktikan kebergantungan kepada bahan api fosil membawa risiko besar kepada ekonomi dunia.
“Malaysia dan negara-negara ASEAN perlu mempercepat usaha peralihan tenaga serta memperkukuh integrasi serantau bagi memastikan bekalan tenaga kekal stabil, mampu milik dan berdaya tahan.
“Peralihan kepada tenaga boleh baharu bukan lagi satu pilihan berasaskan pertimbangan alam sekitar semata-mata, tetapi merupakan keperluan keselamatan negara dan ekonomi yang mesti diberi keutamaan,” katanya ketika berucap pada persidangan berkaitan peralihan tenaga dan kerjasama serantau pada Rabu.
Anwar berkata, kerajaan menyedari transformasi sektor tenaga memerlukan pelaburan yang besar bagi membangunkan ladang solar, menaik taraf grid elektrik, memperluas sistem penyimpanan tenaga serta meningkatkan kemahiran tenaga kerja.
Katanya, usaha itu tidak mampu dipikul kerajaan sahaja, sebaliknya memerlukan kerjasama erat antara sektor awam, pelabur swasta dan pemain industri.
Beliau berkata, Malaysia telah mengambil langkah awal apabila memperkenalkan sukuk hijau pada 2017 yang menggabungkan prinsip kewangan Islam dengan agenda kelestarian alam sekitar.
Menurutnya, pendekatan itu berjaya memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan mampan utama di rantau ini.
Dalam masa sama, Anwar menggesa ASEAN memperkukuh kerjasama tenaga dengan negara rakan seperti China menerusi inisiatif seperti ASEAN Power Grid bagi mempercepat pembangunan tenaga boleh baharu dan sistem tenaga moden di rantau ini.
Mengulas dasar tenaga negara, beliau berkata, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) menetapkan tiga matlamat utama iaitu memastikan bekalan tenaga yang stabil dan mampu milik, merangsang pertumbuhan ekonomi serta mengurangkan pelepasan karbon tanpa menjejaskan ekosistem semula jadi.
Katanya, Malaysia menyasarkan kapasiti tenaga boleh baharu meningkat kepada 31 peratus menjelang 2025, 40 peratus pada 2035 dan 70 peratus menjelang 2050.
“Kerajaan juga kekal dengan komitmen untuk tidak membina loji arang batu baharu, selain mengurangkan penggunaan loji sedia ada secara berperingkat, manakala gas asli akan terus memainkan peranan sebagai sumber tenaga peralihan.
“Peralihan tenaga yang canggih dari segi teknologi tetapi memberi kesan buruk kepada rakyat bukanlah satu kejayaan. Agenda ini mesti memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat dan tidak menambahkan jurang sosial,” katanya.
Tambahnya, keputusan yang dibuat hari ini akan menentukan masa depan rantau ini untuk beberapa dekad akan datang, justeru Malaysia akan terus memainkan peranan aktif dalam memacu kerjasama ASEAN ke arah pembangunan ekonomi hijau yang lebih mampan, adil dan inklusif.



