
KUALA LUMPUR – Sebanyak 828,438 kandungan berkaitan perjudian dalam talian diturunkan, manakala 7,411 laman sesawang perjudian disekat bagi tempoh 1 Januari 2022 hingga 15 September lalu susulan permohonan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, tindakan membanteras kegiatan itu dilaksanakan secara bersepadu oleh agensi berkaitan mengikut bidang kuasa masing-masing.
Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertanggungjawab menjalankan siasatan dan penguatkuasaan terhadap kesalahan perjudian, manakala MCMC menyediakan sokongan teknikal, termasuk tindakan menyekat laman sesawang dan menurunkan kandungan.
“Kerajaan melaksanakan tindakan secara bersepadu mengikut bidang kuasa agensi masing-masing,” katanya dalam jawapan bertulis bagi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 di Dewan Rakyat, Khamis.
Menurutnya, kerjasama MCMC dan PDRM turut diperkukuh menerusi operasi bersepadu bagi mengekang kegiatan perjudian serta pertaruhan dalam talian.
Antara operasi yang dilaksanakan tahun ini ialah Op JOL dan Op Soga XI, termasuk tindakan terhadap kegiatan pertaruhan berkaitan perlawanan bola sepak sempena Piala Dunia FIFA 2026.
Fahmi berkata, MCMC turut bekerjasama dengan PDRM dan pemberi perkhidmatan menerusi Op Pancing serta Op Delusi bagi mengekang penyebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) dan pautan yang digunakan untuk menarik pengguna mengakses platform dalam talian yang menyalahi undang-undang.
Katanya, operasi berkenaan turut memberi tumpuan kepada penyebaran SMS secara besar-besaran menggunakan peralatan ‘Fake Base Transceiver Station’ (Fake BTS).
“Usaha mengekang penyebaran mesej dan pautan melalui rangkaian komunikasi ini turut menyokong tindakan penguatkuasaan terhadap penyalahgunaan saluran komunikasi sebagai medium penyebaran kandungan, promosi dan tarikan kepada pengguna untuk mengakses platform yang menjalankan aktiviti menyalahi undang-undang dalam talian,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan akan meneruskan pendekatan bersepadu bagi memastikan tindakan terhadap perjudian dalam talian dapat dilaksanakan melalui penguatkuasaan undang-undang serta sokongan teknikal berkaitan sekatan kandungan dan laman sesawang.

