TAWAU – Tindakan pantas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Tawau berjaya menggagalkan cubaan menyeludup masuk rokok putih tidak bercukai dianggarkan bernilai RM160, 000 menerusi operasi di perairan Kampung Titingan, pada Rabu.
Pengarah Maritim Zon Tawau, Kepten Maritim Ariffin Ghazali berkata, operasi rutin Op Sejahtera, Op Khas Cegah PATI dan Op Tiris kira-kira pukul 9 malam itu berjaya mengesan bot laju mencurigakan bergerak masuk dari arah sempadan negara pada kedudukan kira-kira 1.35 batu nautika barat daya Sungai Tawau.
“Sebaik diarahkan berhenti untuk pemeriksaan, tekong bot bertindak memecut laju menuju ke kawasan cetek bagi mengelakkan diri daripadaditahan.
“Bagaimanapun, bot berkenaan mengalami kerosakan enjin ketika dikejar, menyebabkan tekongnya bertindak terjun ke laut dan meninggalkan bot bersama- sama muatannya.
“Keadaan cuaca gelap serta perairan cetek menyukarkan usaha mengesan suspek yang melarikan diri,” katanya dalam kenyataan media, pada Khamis.
Beliau berkata, pemeriksaan ke atas bot yang ditinggalkan menemukan 20 kotak besar yang mengandungi kira-kira 200,000 batang rokok putih, dipercayai cuba diseludup masuk dari negara jiran.
“Kesemua barang rampasan termasuk bot dianggarkan RM190, 000 dibawa ke jeti Maritim Zon Tawau sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk disiasat di bawah Akta Kastam 1967,” ujarnya.



