
KUALA LUMPUR – Pengecualian cukai hiburan mulai 2027 bukan bermakna kerajaan memberi kelonggaran untuk menggalakkan budaya hedonisme, sebaliknya pembangunan industri kreatif negara akan terus diseimbangkan dengan pemeliharaan nilai agama dan jati diri masyarakat.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, Kerajaan MADANI mengutamakan pembangunan seimbang antara kemajuan ekonomi, pertumbuhan industri kreatif serta pembentukan akhlak dan pengukuhan nilai kerohanian dalam kalangan masyarakat.
Beliau berkata, pengecualian penuh cukai hiburan itu hanya terpakai kepada tiket wayang dan persembahan teater tempatan di Wilayah Persekutuan mulai 2027, manakala persembahan artis antarabangsa masih tertakluk kepada kawalan sedia ada.
“Setiap permohonan persembahan artis asing tertakluk kepada penelitian Jawatankuasa Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (JK-PUSPAL), selaras dengan syarat dan garis panduan yang perlu dipatuhi, termasuk aspek keselamatan, ketenteraman awam serta nilai dan sensitiviti masyarakat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 (Belanjawan 2027) pada peringkat dasar bagi Kementerian Komunikasi di Dewan Rakyat, hari ini.
Fahmi berkata, agensi keselamatan termasuk Kementerian Dalam Negeri (KDN), polis dan Jabatan Imigresen turut terbabit dalam JK-PUSPAL, selain Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang memberikan input berkaitan hal ehwal agama dan sensitiviti masyarakat Islam.
Dalam industri perfileman pula, beliau berkata, kerajaan menerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) terus menggalakkan pembangunan filem tempatan, namun kandungan yang ditayangkan kepada umum masih tertakluk kepada penelitian Lembaga Penapis Filem (LPF) mengikut Akta Penapisan Filem 2002.
Menurutnya, pembangunan industri kreatif turut diseimbangkan dengan pelbagai program pendidikan dan keagamaan, termasuk Majlis Ilmu MADANI, Forum Ilmuwan Malaysia MADANI dan Program Malaysia Bermunajat yang antaranya dihadiri serta dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, ekonomi kreatif bukan terhad kepada sektor hiburan semata-mata, sebaliknya merangkumi filem, muzik, seni persembahan, animasi, permainan digital, penerbitan sastera, fesyen dan seni kulinari.
Katanya, sektor itu berpotensi menjana peluang pekerjaan, pendapatan dan pelaburan, justeru perlu terus diperkukuh melalui pembangunan bakat, penghasilan serta pengkomersialan karya tempatan dan peluasan akses ke pasaran antarabangsa.
Usaha berkenaan penting bagi meningkatkan daya saing bakat serta harta intelek Malaysia di peringkat global tanpa mengetepikan nilai dan sensitiviti masyarakat tempatan.



