
KUALA LUMPUR – Sebanyak 14,706 kandungan lucah dan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak diturunkan daripada platform dalam talian bagi tempoh 1 Januari 2022 hingga 30 September 2026.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, sebanyak 5,170 laman sesawang lucah turut disekat susulan permohonan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Beliau berkata, kerajaan memandang serius risiko keselamatan dalam talian, khususnya ancaman terhadap kanak-kanak dan pengguna yang terdedah kepada kandungan memudaratkan.
Sehubungan itu, Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866) mula berkuat kuasa pada 1 Januari 2026 bagi memperkukuh usaha melindungi pengguna dalam persekitaran digital.
Selain itu, Kod Pengurangan Risiko yang berkuat kuasa pada 1 Jun 2026 mewajibkan penyedia perkhidmatan berlesen mengambil langkah mengurangkan risiko keselamatan dalam talian, termasuk berkaitan kandungan yang dijana atau dimanipulasi menggunakan kecerdasan buatan (AI).
Kod berkenaan turut merangkumi keperluan pelabelan bagi kandungan deepfake serta imej dan suara yang dimanipulasi bagi membantu pengguna mengenal pasti kandungan sedemikian.
Dalam usaha meningkatkan kesedaran awam, kerajaan turut melaksanakan Kempen Internet Selamat yang memberi tumpuan kepada pendidikan dan advokasi berkaitan keselamatan dalam talian.
Kempen itu menyasarkan ibu bapa, penjaga, guru dan komuniti bagi meningkatkan kefahaman mengenai risiko di alam digital serta langkah melindungi kanak-kanak daripada kandungan memudaratkan.



