
PARIT – Seorang lelaki maut selepas dipercayai terjatuh ke dalam tangki air ketika melakukan kerja-kerja kimpalan pada tangga di dalam tangki air di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), di sini, petang Selasa.
Mangsa berusia 34 tahun disahkan meninggal dunia oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sejurus berjaya dikeluarkan dari dalam tangki oleh anggota bomba.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.46 petang.
“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Parit bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) digerakkan ke lokasi dan tiba pada jam 3.53 petang.
“Sebaik tiba, didapati seorang lelaki yang sedang menjalankan kerja-kerja kimpalan pada tangga di dalam tangki air telah terjatuh ke dalam tangki berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, operasi menyelamat diketuai PBK I Jamidi Zainuddin dengan anggota bomba memasuki tangki air bagi mengeluarkan mangsa menggunakan tali penyelamat.
Menurutnya, mangsa berjaya dinaikkan ke permukaan tangki sebelum pemeriksaan dilakukan oleh pasukan KKM.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan telah meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Mayat mangsa kemudian diturunkan menggunakan sistem lowering dan scoop stretcher sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, operasi berjaya dikawal pada jam 4.30 petang dan ditamatkan sepenuhnya 20 minit kemudian.





