JASIN – Ketiadaan kemudahan tali air di kawasan sawah di Kampung Tedong, Serkam menyebabkan pesawah terpaksa bergantung kepada hujan bagi memastikan tanaman padi mendapat bekalan air mencukupi, sekali gus berdepan risiko kerugian ketika musim kemarau.
Pesawah, Shahril Aziz, 68, berkata, ketiadaan sistem pengairan yang sempurna menyebabkan mereka berdepan kesukaran mendapatkan bekalan air, terutama apabila hujan tidak turun dalam tempoh panjang.
“Di sini kami hanya mengharapkan air hujan. Kalau musim kemarau dan tiada hujan, padi boleh mati kerana kekurangan air. Sawah memang memerlukan air yang mencukupi untuk memastikan tanaman menjadi,” katanya ketika ditemui The Malaysia Press (TMP) pada Ahad.
Menurut pesara swasta yang turut bekerja sebagai nelayan itu, usaha menyalurkan air menggunakan pam dari sungai berhampiran pernah dilakukan, namun masih belum dapat menyelesaikan masalah berkenaan.
Katanya, kedudukan sungai yang jauh di bahagian bawah serta pengaruh air pasang menyebabkan proses mengepam air hanya boleh dilakukan pada waktu tertentu berikutan kemasukan air laut ke sungai.

Dia berkata, kemudahan parit dan empangan di hujung kawasan sawah juga belum mampu menyelesaikan masalah pengairan sepenuhnya apabila limpahan air boleh menyebabkan kawasan sawah di bahagian atas pula dilanda banjir.
“Apabila air terlalu banyak, kawasan di bahagian atas pula akan banjir. Jadi, masalah bekalan air ini masih belum dapat diselesaikan sepenuhnya,” katanya.
Shahril berkata, cadangan mendapatkan sumber air bawah tanah juga berdepan kesukaran berikutan kawasan berkenaan dipengaruhi air laut sehingga sumber air dalam tanah tidak sesuai digunakan.
Menurutnya, kekurangan bekalan air boleh menjejaskan hasil tanaman, malah menyebabkan pesawah berisiko gagal mendapatkan semula modal yang dilaburkan.
Katanya, tempoh penanaman padi sehingga dituai mengambil masa kira-kira 110 hingga 115 hari, justeru bekalan air mencukupi amat penting sepanjang proses berkenaan.
“Kalau tiada air, hasil memang berkurangan dan modal yang dikeluarkan pun mungkin tidak lepas. Sawah perlukan air, kalau tiada air memang susah hendak mengusahakan padi,” katanya.
Mengulas kos pengusahaan sawah, dia berkata, kos membajak ketika ini melebihi RM250 bagi setiap ekar, manakala keluasan sawah yang diusahakannya melebihi enam ekar.
Bagaimanapun, ujarnya, bantuan baja dan racun bukan menjadi masalah utama ketika ini kerana kemudahan berkenaan disediakan, sebaliknya isu bekalan air perlu diberi perhatian bagi memastikan aktiviti penanaman padi dapat diteruskan.



