
KOTA KINABALU – Seorang penunggang motosikal maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) jenis Isuzu D-Max di Jalan Lintas, berhampiran City Mall, di sini, pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila Isuzu D-Max dipandu seorang lelaki berumur 45 tahun dipercayai sedang membuat pusingan U.
“Kenderaan terbabit kemudian dilanggar sebuah motosikal ditunggang mangsa berumur 18 tahun yang bergerak lurus di lorong kedua dari kiri dari arah Bukit Padang menuju ke Inanam.
“Pelanggaran berlaku pada bahagian sisi hadapan kiri kenderaan pacuan empat roda tersebut, menyebabkan penunggang motosikal tercampak ke atas jalan raya,” katanya dalam kenyataan media, pada Ahad.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth (HQE I), Kota Kinabalu bagi tujuan bedah siasat.
“Pemandu kenderaan ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Royston Ubak menerusi talian 016-3130153 atau mana-mana balai polis berhampiran.
“Semua pengguna jalan raya juga dinasihatkan sentiasa memandu dengan cermat dan berhemah,” ujarnya.



