
PORT DICKSON – Kerajaan akan meneruskan rundingan dengan Amerika Syarikat (AS) berhubung pelaksanaan tarif perdagangan bagi memastikan kepentingan Malaysia terus terpelihara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, usaha itu kini diterajui Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, selepas rundingan awal dimulakan oleh bekas penyandang portfolio berkenaan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
“Kita sudah utuskan perundingan daripada Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan kini diteruskan oleh Datuk Seri Johari Abdul Ghani. Kalau kita tidak dapat jawapan yang memuaskan, kita akan bangkitkan lagi.
“Tetapi sekurang-kurangnya sekarang ini kita rasa lega kerana tarifnya relatif rendah berbanding banyak negara lain,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Semarak Kenegaraan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda), di sini, hari ini.
Anwar berkata, kerajaan akan terus menggunakan saluran diplomasi dan rundingan sekiranya terdapat perkara berkaitan tarif perdagangan yang masih memerlukan penelitian atau penambahbaikan.
Pada masa sama, beliau menyifatkan kadar tarif yang dikenakan ke atas Malaysia ketika ini sebagai lebih baik berbanding yang dikenakan ke atas kebanyakan negara lain.
Menurut kenyataan Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR), Malaysia, Kemboja dan Indonesia dikenakan kadar duti sebanyak 10 peratus di bawah tarif baharu Seksyen 301, menjadikan ketiga-tiga negara itu antara yang menerima kadar terendah dalam kalangan negara ASEAN.
USTR memaklumkan tindakan itu diambil terhadap 60 ekonomi selepas siasatan mendapati negara terbabit gagal melaksanakan dan menguatkuasakan secara berkesan larangan import barangan yang dihasilkan menggunakan buruh paksa, selaras dengan peruntukan Seksyen 301 Akta Perdagangan 1974.
Agensi itu turut memaklumkan kebanyakan ekonomi lain dikenakan kadar duti sebanyak 12.5 peratus.
Selain itu, Malaysia layak dipertimbangkan bagi pelaksanaan kuota kadar tarif berdasarkan import input dari AS sebagai insentif untuk meningkatkan penggunaan kapas dan produk tekstil dari negara berkenaan.





