
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) diarahkan menyiasat dakwaan membabitkan sebuah akaun media sosial palsu yang dipercayai memuat naik kandungan menghina Nabi Muhammad SAW.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, siasatan perlu dijalankan secara menyeluruh bagi mengesahkan kesahihan dakwaan tersebut sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.
Menurut beliau, setakat ini pihaknya belum menerima maklumat lengkap yang dapat mengesahkan sama ada akaun berkenaan benar-benar milik individu yang dikaitkan atau sebaliknya.
“Saya akan mendapatkan penjelasan daripada PDRM dan MCMC mengenai status siasatan kes ini.
“Kebiasaannya, apabila sesuatu aduan diterima, individu yang dipercayai terbabit akan dipanggil bagi membantu siasatan untuk tujuan pengesahan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Projek Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Pantai di sini, pada Jumaat.
Fahmi berkata, MCMC akan memainkan peranan sebagai agensi teknikal dengan mendapatkan maklumat daripada platform media sosial terbabit serta menjalankan analisis forensik digital bagi menentukan sama ada sesuatu peranti digunakan untuk memuat naik kandungan berkenaan.
“Saya juga telah meminta MCMC mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara ini,” katanya.
Terdahulu, tular di platform Threads satu hantaran yang didakwa menghina Nabi Muhammad SAW sehingga mencetuskan kemarahan orang ramai.
Bagaimanapun, individu yang dikaitkan dengan akaun tersebut tampil menafikan pemilikan akaun berkenaan menerusi Facebook dan mendakwa terdapat pihak lain yang menggunakan nama serta gambarnya untuk memuat naik kandungan berkenaan.
Beliau turut membuat laporan polis, manakala kes itu telah dirujuk kepada MCMC untuk tindakan lanjut.





