KUANTAN – Polis mengesahkan kematian seorang wanita ketika melakukan aktiviti menyelam di perairan Kampung Salang, Pulau Tioman, Rompin pada 19 Julai lalu, berpunca daripada gelembung gas atau udara memasuki saluran darah arteri.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, siasatan polis mendapati tiada unsur jenayah berkaitan kejadian itu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR), setakat ini.
Katanya, walaupun kes SDR, siasatan secara menyeluruh dilakukan sama ada berlaku sebarang kecuaian mana-mana pihak atau masalah teknikal.
“Berdasarkan laporan, Balai Polis Pulau Tioman menerima maklumat dari Klinik Kampung Tekek berhubung kejadian mangsa, Heng Jing Ying meninggal dunia ketika melakukan aktiviti menyelam pada jam 12.24 tengah hari.
“Siasatan awal mendapati mangsa menyertai aktiviti ‘Aware Coral’ anjuran sebuah pusat aktiviti selaman bersama rakannya di Kampung Genting pada 17 hingga 18 Julai lalu,” katanya, lapor Harian Metro.
Menurut Sharif Shai, ketika kejadian mangsa bersama sembilan peserta, masing-masing seorang instruktor dan ‘dive master’ menjalankan aktiviti ‘fundive’ di Seafan, Batu Malang, Pulau Tulai.
“Sebelum aktiviti dijalankan, mangsa dan kumpulannya diberikan taklimat berkaitan keselamatan serta penggunaan peralatan yang berkaitan walaupun mereka mempunyai lesen menyelam,” katanya.
Beliau berkata, ketika berada pada kedalaman 17.6 meter, mangsa dipercayai hilang daripada kumpulannya dan usaha mencari dijalankan di kawasan selaman.
Katanya, selepas kira-kira 30 minit pencarian, mangsa ditemui terdampar di dasar berpasir tidak jauh dari kawasan selaman.
“Mangsa kemudian dibawa ke bot dan bantuan pernafasan diberikan tetapi tiada sebarang tindak balas.
“Mangsa kemudiannya dibawa ke Klinik Kampung Tekek untuk mendapatkan rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan untuk bedah siasat.




