
ISTANBUL – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dilaporkan sedang bersiap sedia memperkenalkan pusingan baharu tarif import terhadap kira-kira 60 negara seawal minggu ini, sekali gus berpotensi meningkatkan semula ketegangan perdagangan global.
Menurut laporan The Financial Times, pentadbiran Trump merancang menggantikan tarif global sebanyak 10 peratus yang bakal tamat tempoh dengan kadar baharu antara 10 hingga 12.5 peratus ke atas puluhan negara.
Tidak lagi bergantung kepada kuasa kecemasan yang telah dibatalkan oleh Mahkamah Agung AS, pentadbiran itu dijangka menggunakan siasatan berhubung amalan buruh paksa di bawah Seksyen 301 Akta Perdagangan 1974 sebagai asas perundangan bagi melaksanakan tarif tersebut.
Laporan itu turut menyebut siasatan lanjut boleh membuka ruang kepada pengenaan kadar tarif yang lebih tinggi pada masa hadapan.
Langkah itu meneruskan dasar perdagangan agresif Trump selepas beliau sebelum ini mengumumkan tarif 50 peratus terhadap barangan dari Kanada dan levi 25 peratus ke atas import dari Brazil.
Tindakan berkenaan dibuat susulan keputusan Mahkamah Agung AS pada awal tahun ini yang membatalkan tarif timbal balik diperkenalkan Trump pada April 2025, sekali gus mencetuskan ketidaktentuan dalam pasaran global.
Dalam masa sama, pegawai kanan pentadbiran dilaporkan menggesa Trump supaya mengekalkan hubungan perdagangan yang stabil dengan rakan dagang serta mematuhi perjanjian perdagangan yang dimeterai pada 2025.
Sebagai sebahagian daripada pendekatan itu, beberapa cadangan tarif sebelum ini turut dilonggarkan dengan mengecualikan barangan pengguna utama dan mengurangkan duti ke atas produk berkaitan keluli serta aluminium.
Usaha memperkukuh dasar perdagangan tersebut berlaku ketika ketegangan antara AS dan Iran semakin memuncak, yang mendorong harga minyak di negara itu meningkat melebihi AS$4 segelen, sekali gus menambah tekanan terhadap kos sara hidup rakyat.
Tinjauan pendapat yang dijalankan awal bulan ini turut menunjukkan lebih dua pertiga pengundi AS tidak berpuas hati dengan cara Trump menguruskan isu kos sara hidup, meskipun beliau sebelum ini berjanji akan menurunkan harga barangan semasa kempen pilihan raya.
Cadangan tarif baharu itu dijangka memberi tumpuan kepada negara yang dikaitkan dengan amalan buruh paksa, selain siasatan berasingan mengenai lebihan kapasiti pembuatan yang melibatkan beberapa ekonomi utama termasuk Kesatuan Eropah (EU), China, India, Jepun, Mexico, Korea Selatan serta beberapa negara Asia Tenggara.





