TINDAKAN Barisan Nasional (BN) meletakkan calon di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang dilihat mencabar kedudukan Wawasan yang memberi isyarat bahawa kerusi Parlimen turut akan dirampas UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, kerjasama BN dan Pas belum menjamin kestabilan politik Melayu dan negara kerana terdapat kemungkinan berlakunya persaingan kuasa di antara kedua-dua parti berkenaan.
“Pas sudah pasti mempertahankan Wawasan sepertimana Pas pertahan Bersatu di peringkat awal penubuhan PN. Pas tidak akan biarkan BN jadi dominan. Sebab itu kerjasama BN-Pas belum menjamin kestabilan politik Melayu dan negara.
“Dan belum tentu Zahid boleh jadi Perdana Menteri. PAS ada perancangan lain. PAS belum sedia dipaksa naik satu pentas dengan UMNO,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, pada Isnin.
Mengulas lanjut Puad menjangkakan Pas akan terus mempertahankan Wawasan seperti Bersatu pada peringkat awal penubuhan Perikatan Nasional (PN)
“Pas sudah tentu tidak akan membiarkan BN menjadi dominan,” katanya.
Pada 25 Oktober lalu, BN mengumumkan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Rais Yasin sebagai calon di DUN Sungai Udang meski pun parti itu menjalinkan kerjasama dengan Pas PRN Melaka, kali ini.
Kerusi berkenaan disandang oleh bekas ADUN Bersatu yang kini menyertai Wawasan, Dar Mohd. Aleef Yusof.
Dr Mohd Aleef memenangi kerusi Sungai Udang pada 2021 dengan 6,789 undi, menewaskan calon BN, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad dengan majoriti 530 undi.




