Harga minyak dunia lepasi AS$100 setong

NEW YORK – Harga minyak dunia melonjak melepasi paras AS$100 setong pada Khamis, mencatatkan paras tertinggi dalam tempoh hampir dua bulan selepas kumpulan Houthi di Yaman mengumumkan serangan ke atas dua kapal tangki minyak Arab Saudi di Laut Merah, sekali gus memburukkan lagi gangguan bekalan minyak global susulan hampir terhentinya perdagangan melalui Selat Hormuz.

Niaga hadapan minyak mentah Brent meningkat AS$6.59 atau tujuh peratus kepada AS$100.66 setong pada jam 12.58 tengah hari waktu tempatan (1658 GMT), sekali gus melepasi paras AS$100 buat kali pertama sejak penghujung Mei.

Penanda aras minyak mentah global itu telah melonjak hampir 40 peratus sepanjang bulan ini.

Sementara itu, minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) Amerika Syarikat (AS) naik AS$5.45 atau 6.3 peratus kepada AS$92.28 setong, sekali gus kembali melepasi paras AS$90 buat kali pertama sejak 11 Jun.

Kedua-dua penanda aras itu mencatat kenaikan bagi hari kelima berturut-turut.

Ketua Ahli Ekonomi Matador Economics, Tim Snyder berkata, serangan ke atas kapal tangki Arab Saudi telah melonjakkan harga minyak dunia apabila satu lagi laluan strategik perdagangan minyak mentah dari Asia Barat berdepan gangguan.

“Serangan itu melonjakkan harga minyak mentah dunia ke paras lebih tinggi apabila kesan daripada satu lagi laluan utama perdagangan minyak mentah dari Asia Barat yang terjejas mula menyekat aliran perdagangan,” katanya kepada Reuters.

Kumpulan Houthi membuka satu lagi medan konflik dalam perang melibatkan Iran apabila menyasarkan kapal yang membawa minyak Arab Saudi di Selat Bab el-Mandeb selepas mengumumkan sekatan laut terhadap penghantaran minyak dari negara itu.

Kumpulan berkenaan mendakwa menyerang dua kapal tangki minyak Arab Saudi dalam satu operasi ketenteraan, manakala agensi berita rasmi Arab Saudi, SPA, kemudian mengesahkan sebuah daripada kapal itu terbakar ketika belayar di Laut Merah. Bagaimanapun, SPA tidak menyatakan pihak yang bertanggungjawab terhadap serangan berkenaan.

Firma perunding tenaga Gelber and Associates berkata situasi itu memburukkan lagi gangguan di Selat Hormuz selain pengurangan mendadak eksport minyak Iran, sekali gus meningkatkan kebimbangan terhadap bekalan minyak global dalam tempoh terdekat.

Bagaimanapun, data perkapalan menunjukkan dua kapal tangki gergasi China yang membawa gabungan empat juta tong minyak Arab Saudi berjaya keluar dari Laut Merah melalui Selat Bab el-Mandeb pada Khamis.

Goldman Sachs pula menjangkakan harga minyak Brent berpotensi melepasi AS$120 setong pada suku keempat tahun ini dan mencatat purata AS$100 setong tahun depan sekiranya gangguan di Selat Hormuz berterusan sehingga 2027.

Menurut bank pelaburan itu, harga minyak boleh meningkat lebih tinggi sekiranya gangguan turut berlarutan di Selat Bab el-Mandeb dan Terusan Suez.

Sementara itu, Pengawal Revolusi Iran memaklumkan sebuah kapal tangki minyak terbakar selepas letupan ketika melalui laluan yang didakwa dipasang periuk api di bahagian selatan Selat Hormuz berhampiran pantai Oman, manakala dua lagi kapal berpatah balik.

Pasukan itu turut mendakwa Selat Hormuz kini berada di bawah kawalan mereka dan “ditutup sepenuhnya” selagi tindakan ketenteraan AS di rantau berkenaan diteruskan, sambil memberi amaran tiada kapal tangki dibenarkan keluar atau masuk tanpa penyelarasan dengan Iran.

Pada masa sama, Presiden AS Donald Trump berikrar akan memusnahkan jambatan atau loji janakuasa di Iran setiap kali negara itu menyerang kapal di Selat Hormuz.

Penganalisis UBS, Giovanni Staunovo berkata serangan Iran ke atas kapal yang melalui Selat Hormuz menyebabkan jumlah kapal tangki minyak bukan Iran yang menggunakan laluan itu berkurangan dengan ketara.

Beliau berkata sekatan laut AS terhadap pelabuhan Iran turut menyebabkan penghantaran minyak negara itu dijangka merosot kepada sifar daripada sekitar 1.5 juta hingga dua juta tong sehari pada awal bulan ini.

Akibat penyusutan penghantaran melalui Selat Hormuz, aktiviti pemuatan minyak di rantau Teluk menurun kepada sekitar 2.5 juta tong sehari dalam tempoh tujuh hari lalu berbanding purata enam juta tong sehari dalam tempoh 30 hari sebelumnya.

Dalam perkembangan berkaitan, tujuh negara teras OPEC+ dijangka meningkatkan sasaran pengeluaran minyak sebanyak kira-kira 188,000 tong sehari bagi September apabila kumpulan itu bermesyuarat pada 2 Ogos.

Negara berkenaan ialah Arab Saudi, Rusia, Iraq, Kuwait, Algeria, Kazakhstan dan Oman, walaupun konflik Iran dijangka mengehadkan keupayaan sebahagian anggotanya untuk meningkatkan pengeluaran.

Related Posts

Trump rancang tarif baharu ke atas 60 negara, perang perdagangan dijangka memuncak

ISTANBUL – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dilaporkan sedang bersiap sedia memperkenalkan pusingan baharu tarif import terhadap kira-kira 60 negara seawal minggu ini, sekali gus berpotensi meningkatkan semula ketegangan…

Lebih lanjut

teruskan membaca
AS terus serang Iran untuk hari kelapan

DUBAI – Amerika Syarikat (AS) meneruskan serangan udara ke atas Iran untuk malam kelapan berturut-turut selepas mengesahkan sekurang-kurangnya tiga anggota tenteranya maut dalam beberapa insiden berasingan, dengan seorang daripadanya masih…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Tok Mat sangkal dakwaan Hamzah, tidak wujud gabungan Perikatan Barisan Nasional

Tok Mat sangkal dakwaan Hamzah, tidak wujud gabungan Perikatan Barisan Nasional

Harimau belang betina 94kg ditangkap, ganggu ternakan

Harimau belang betina 94kg ditangkap, ganggu ternakan

Harga minyak dunia lepasi AS$100 setong

Harga minyak dunia lepasi AS$100 setong

‘Ibarat bercakap dengan batu’, penduduk kecewa tuntutan bina Hospital Gemas diabaikan Ridzuan 

‘Ibarat bercakap dengan batu’, penduduk kecewa tuntutan bina Hospital Gemas diabaikan Ridzuan 

Ucapan penyandang DUN Labu cetus polemik, sentuh pewarisan takhta Negeri Sembilan

Ucapan penyandang DUN Labu cetus polemik, sentuh pewarisan takhta Negeri Sembilan

Pengundi Negeri Sembilan tolak retorik politik, pilih kesinambungan pentadbiran PH

Pengundi Negeri Sembilan tolak retorik politik, pilih kesinambungan pentadbiran PH