AS terus serang Iran untuk hari kelapan

DUBAI – Amerika Syarikat (AS) meneruskan serangan udara ke atas Iran untuk malam kelapan berturut-turut selepas mengesahkan sekurang-kurangnya tiga anggota tenteranya maut dalam beberapa insiden berasingan, dengan seorang daripadanya masih dilaporkan hilang.

Pada masa sama, beberapa sekutu AS di Asia Barat melaporkan serangan baharu Iran, pada Ahad termasuk ke atas Kuwait, Bahrain dan Jordan, ketika konflik antara kedua-dua negara itu terus memuncak.

Ketegangan meningkat selepas perjanjian gencatan senjata sementara dimeterai sebulan lalu gagal dipertahankan, selain perebutan kawalan di Selat Hormuz, laluan perkapalan strategik yang mengendalikan kira-kira satu perlima perdagangan minyak dunia.

Tentera AS berkata, gelombang serangan terbaharu yang bermula pada jam 6 petang (waktu tempatan), pada Sabtu menyasarkan kemudahan pemantauan pantai dan pertahanan udara Iran untuk melemahkan keupayaan negara itu yang mengancam perkapalan komersial di Selat Hormuz serta sebagai tindak balas terhadap serangan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) ke atas anggota tentera AS di Jordan.

Sebelum serangan itu dilancarkan, AS dilaporkan menghantar aset ketenteraan tambahan ke Asia Barat termasuk pesawat pejuang sebagai persediaan menghadapi konflik yang semakin meruncing.

Menurut Komando Pusat AS (CENTCOM), operasi ketenteraan itu berjaya menyasarkan beberapa kemudahan ketenteraan Iran. Konflik yang tercetus sejak 28 Februari lalu apabila AS dan Israel menyerang Iran dengan alasan mahu melumpuhkan program nuklear dan peluru berpandu negara itu, dan ia turut mengorbankan ribuan nyawa, kebanyakannya di Iran dan Lubnan, selain menjejaskan bekalan tenaga dunia.

Media Iran melaporkan, serangan AS turut mengenai kawasan berhampiran Sirik di selatan Iran, Shadegan berhampiran sempadan Iraq dan bandar Abadan di barat daya negara itu.

Pertubuhan Tenaga Atom Iran mengecam serangan AS ke atas tapak loji janakuasa nuklear yang sedang dibina di Darkhovin, manakala Agensi Tenaga Atom Antarabangsa memaklumkan, pihaknya sedang menyiasat laporan berhubung serangan itu.

Sebagai tindak balas, Iran melancarkan serangan dron ke atas aset ketenteraan AS di Kem Al-Adiri dan Pangkalan Udara Ali Al Salem di Kuwait.

Kerajaan Kuwait memaklumkan sebuah loji penyahgaraman air turut diserang untuk hari kedua berturut-turut sehingga mencetuskan kebakaran, yang disifatkan sebagai serangan langsung ke atas infrastruktur awam penting.

Angkatan Tentera Kuwait juga berkata, pihaknya sekali lagi berjaya memintas peluru berpandu Iran, manakala Bahrain turut memaklumkan, sistem pertahanan udaranya berjaya memintas serangan Iran, pada Ahad.

Di Jordan, siren amaran dibunyikan selepas tentera negara itu menembak jatuh tiga peluru berpandu Iran, dengan tentera Israel berkata, pihaknya mengesan pelancaran peluru berpandu Iran ke arah bandar Aqaba di Jordan yang terletak berhampiran sempadan Israel.

Dalam perkembangan berkaitan, IRGC mendakwa empat kapal cuba melalui Selat Hormuz menggunakan laluan yang tidak selamat dengan sokongan AS selepas mengabaikan amaran yang diberikan.

Menurutnya, dua kapal berpatah balik manakala dua lagi terbabit dalam satu ‘kemalangan’ namun tidak memperincikan insiden itu.

Sementara itu, CENTCOM memaklumkan dua anggota tenteranya maut dalam serangan di Jordan pada Jumaat, manakala seorang lagi masih hilang.

Pada Ahad, CENTCOM juga menyatakan, sisa mayat yang belum dikenal pasti ditemui di lokasi serangan dan proses pengecaman masih dijalankan.

Pada Sabtu, seorang lagi anggota tentera AS dilaporkan maut di utara Iraq sewaktu operasi pemusnahan terkawal bahan letupan daripada sebuah dron serangan Iran yang ditembak jatuh.

Perkembangan itu menjadikan jumlah anggota tentera AS yang terbunuh sejak konflik bermula meningkat kepada 17 orang, manakala lebih 420 lagi cedera.

Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth berkata, pengorbanan anggota tentera yang terkorban hanya menguatkan lagi tekad Washington untuk meneruskan operasi ketenteraan.

Kementerian Kesihatan Iran pula memaklumkan, sekurang-kurangnya 50 orang terbunuh dan lebih 500 cedera akibat serangan AS sepanjang tiga minggu lalu.

Secara keseluruhan, konflik itu sudah meragut ribuan nyawa, terutama di Iran dan Lubnan, selepas perang antara Israel dan kumpulan Hizbullah yang disokong Iran kembali tercetus.

Dalam perkembangan diplomatik, Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, juga mengadakan pertemuan dengan Presiden Lubnan, Joseph Aoun, bagi membincangkan perjanjian rangka kerja yang disokong Washington dan dimeterai pada Jun lalu.

Aoun dijadual bertemu Donald Trump, esok untuk membentangkan pelan melucutkan senjata Hizbullah serta memastikan pengunduran tentera Israel dari selatan Lubnan.

Related Posts

Lebih 150 orang awam maut akibat operasi tentera AS di Yaman

WASHINGTON – Operasi ketenteraan Amerika Syarikat (AS) mengorbankan 153 orang awam dan mencederakan 243 yang lain sepanjang 2025, menurut seorang pegawai AS, yang memetik penilaian Pentagon. Jumlah itu meningkat ketara…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Lebih 100,000 hektar hutan Indonesia terbakar, risiko jerebu rentas sempadan

JAKARTA – Lebih 107,000 hektar kawasan hutan dan tanah di seluruh Indonesia terjejas akibat kebakaran setakat Isnin, dengan kerajaan meningkatkan usaha bagi mengelakkan jerebu rentas sempadan menjejaskan negara jiran. Menteri…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

‘Biar DAP habiskan persidangan dahulu’ – Anwar

‘Biar DAP habiskan persidangan dahulu’ – Anwar

Tahap integriti penjawat awam makin baik

Tahap integriti penjawat awam makin baik

Jentera Pilihan Raya PKR akan dikelolai Amirudin Shari

Jentera Pilihan Raya PKR akan dikelolai Amirudin Shari

Tian Chua sedia kembali ke PKR

Tian Chua sedia kembali ke PKR

Gempa bumi Sumatera: Pulau Pinang terkawal, tiada cedera

Gempa bumi Sumatera: Pulau Pinang terkawal, tiada cedera

Demi kestabilan politik, PKR tidak akan ‘ceraikan’ UMNO

Demi kestabilan politik, PKR tidak akan ‘ceraikan’ UMNO