PARTI Keadilan Rakyat (PKR) mengetengahkan tujuh muka baharu dan empat calon muda daripada keseluruhan sembilan calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, sebagai langkah membuka ruang kepada kepemimpinan generasi pelapis.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, pendekatan itu turut memberi peluang lebih besar kepada golongan wanita untuk menyumbang kepada kepemimpinan parti dan membawa aspirasi rakyat.
“Sebanyak tujuh atau 77.8 peratus daripada sembilan calon PKR adalah muka baharu, manakala empat atau 44.4 peratus pula terdiri daripada golongan muda.
“Pada masa sama, tiga calon wanita turut diketengahkan, bersamaan 33.3 peratus daripada keseluruhan calon,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.
Kelmarin, Perdana Menteri merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan gabungan itu akan bertanding di 21 kerusi pada PRN Melaka, dengan PKR diperuntukkan sembilan kerusi.
Sembilan calon PKR ialah Mohd Yunazri Mustamiri di Tanjung Bidara; Mohd Khuzairie Mohd Kamal Kannan (Rembia); P Denesh (Asahan); Datuk Azman Abidin (Paya Rumput); Muhammad Hakimin Mokhtar (Ayer Molek); Esma Eazreen Husin (Rim); Muhammad Faiq Azman (Serkam); Farzana Hayani Mohd Nasir (Kelebang) dan Datuk Ginie Lim Siew Lin (Machap Jaya).
Fuziah berkata, beliau sudah melawat lapan Bilik Gerakan Utama (BGU) Dewan Undangan Negeri (DUN) sejak pengumuman calon dibuat bagi meninjau persiapan, bertemu petugas serta menyelaraskan gerak kerja jentera parti.
“Siri lawatan itu akan diteruskan hingga esok bagi memastikan persiapan di peringkat kawasan berjalan dengan baik,” katanya yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 31 Oktober ini sebagai hari penamaan calon, 10 November bagi pengundian awal, manakala hari mengundi PRN Melaka ditetapkan pada 14 November.




