
LIMBANG – Semangat kebersamaan sempena sambutan Hari Sarawak disemarakkan apabila kumpulan Sarawak Volunteers Daerah Limbang mengagihkan 23 bakul makanan kepada penduduk di Rumah Panjang Banta pada Rabu.
Pengerusi Sarawak Volunteers Daerah Limbang, Muizzudin Safie berkata, inisiatif tersebut bertujuan meringankan beban golongan yang memerlukan di samping menghayati hari bersejarah negeri menerusi aktiviti kemasyarakatan.
“Walaupun sumbangan ini tidaklah begitu besar, kita harap ia dapat memberi sedikit kelegaan kepada penerima serta menjadi simbol keprihatinan sesama rakyat.
“Hari Sarawak bukan sekadar memperingati sejarah pembentukan pentadbiran sendiri, tetapi ia menjadi platform untuk memperkukuh nilai perpaduan dan sikap saling membantu,” katanya ketika berucap pada program berkenaan.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan Sarawak Volunteers merupakan sebuah pertubuhan yang dianggotai oleh golongan belia anak jati Sarawak yang sentiasa komited turun padang menghulurkan khidmat bakti.
Tambahnya, persatuan itu telah berjaya melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk bantuan kebajikan, gotong-royong dan misi pengurusan bencana hasil kerjasama erat bersama agensi kerajaan serta pemimpin setempat.
“Kejayaan pelbagai program sebelum ini membuktikan bahawa semangat kesukarelawanan dalam kalangan belia Sarawak semakin kukuh dan mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan masyarakat yang prihatin,” ujarnya.
Dalam pada itu, Muizzudin menyeru lebih ramai golongan belia untuk menyertai aktiviti kesukarelawanan sebagai platform membina sahsiah diri, memupuk kepemimpinan dan menyumbang kepada kelestarian komuniti khususnya di daerah Limbang.








