
KOTA KINABALU – Hospital Lahad Datu dinaik taraf secara berfasa bagi meningkatkan fasiliti dan aset perubatan.
Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Rina Jainal berkata, Hospital Lahad Datu yang berstatus Hospital Berpakar Minor terus diberikan perhatian oleh kerajaan menerusi Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) bagi memperkukuh penyampaian perkhidmatan kesihatan.
“Kerja awalan projek naik taraf hospital itu sedang dilaksanakan, melibatkan pembaikan struktur bangunan sebagai langkah meningkatkan kemudahan sedia ada.
“Selain itu, penggantian, penambahan dan perolehan baharu aset perubatan turut dilaksanakan secara berfasa bagi meningkatkan keupayaan hospital dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan yang lebih berkualiti,” katanya ketika menjawab soalan lisan daripada ADUN Silam, Datuk Mohammad Yusof Apdal semasa Mesyuarat Kedua Dewan Undangan Sabah ke-17, disini pada Rabu.
Tambahnya, kementerian komited meneruskan usaha menaik taraf fasiliti kesihatan di Hospital Lahad Datu agar mampu memenuhi keperluan semasa serta meningkatkan akses rakyat kepada perkhidmatan kesihatan yang lebih baik.



