
GEORGE TOWN – Tiada sebarang usaha untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada Barisan Nasional (BN).
Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, BN akan kekal komited bersama Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal Parlimen ke-15.
Ujarnya, komitmen tersebut selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong ketika pembentukan Kerajaan Perpaduan dan tidak pernah berubah.
“Saya tidak ada niat langsung, tiada langkah Bangkok ke, langkah Dubai ke, kami (BN) pegang bahawa apabila kami komited untuk berada di dalam Kerajaan Perpaduan atas titah Tuanku Agong dulu, kami komited sehingga akhir penggal Parlimen yang ke-15. Noktah.
“Jangan perlu timbul keraguan dan sebagainya. Biarkanlah orang bercakap, asalkan dalam minda kita ada pemikiran bahawa kita harus bersama, untuk kestabilan politik dan jiwa kita harus ikhlas dalam perkara ini,” katanya hari ini.
Sementara itu, Ahmad Zahid menegaskan bahawa tiada sebarang perbincangan rasmi antara BN dan Perikatan Nasional (PN) mengenai kerjasama politik untuk dikenali sebagai Perikatan Barisan Nasional (PBN).
Beliau berkata, cadangan itu hanya disebut dalam ucapan kempen dan tidak pernah dibincangkan secara rasmi, sebaliknya harus diperhalusi terlebih dahulu dengan pihak terlibat.
Pada sidang media sama, Ahmad Zahid turut berseloroh membalas pantun yang dikongsikan Perdana Menteri semalam dengan menyampaikan pantun yang puitis dan sarat dengan maksud tersendiri.
“Mendaki ke Gunung Tahan, jatuh ke gaung temui maut. Bumbung tercabut, mampu ditahan. Jika ribut, diterbang ke laut,“ katanya.
Beliau juga berkata, hubungan dengan Anwar masih baik dan mesra seperti sebelum ini walaupun bersaing antara satu sama lain pada PRN Negeri Sembilan.
Semalam, Anwar berkongsi serangkap pantun mengenai kepentingan kesepakatan dan disiplin dalam sesebuah persahabatan dan permuafakatan.





