SEREMBAN – Politik ‘tebuk atap’ yang menjadi antara polemik dalam landskap politik negara pada alaf baharu disifatkan bermula dengan Pas sebelum pendekatan sama dilihat diulangi Barisan Nasional (BN) di Negeri Sembilan.
Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Samad berkata, Pas memperkenalkan istilah ‘tebuk atap’ bagi menggambarkan pembentukan kerajaan tanpa melalui pilihan raya, meskipun parti itu membawa imej memperjuangkan Islam.
“Kita perlu tegaskan bahawa yang memulakan budaya politik khianat pada era politik baharu ini ialah Pas. Mereka yang memperkenalkan istilah ‘tebuk atap’. Kita kata masuk pintu belakang atau panjat tingkap, tetapi mereka kata tebuk atap.
“Budaya politik seperti ini sangat tidak wajar. Mereka mendakwa membawa perjuangan Islam, tetapi Islam tidak mengajar pengkhianatan,” katanya ketika ditemui The Malaysia Press (TMP), di sini, pada Rabu.
Beliau berkata, tindakan UMNO-BN menyokong pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan turut memberi gambaran gabungan itu lebih mengutamakan usaha mendapatkan semula kuasa berbanding meneruskan pentadbiran negeri.
Sebagai perbandingan, Khalid merujuk kenyataan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg, yang menurutnya memilih untuk memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat berbanding memikirkan soal pilihan raya negeri.
“Saya merujuk jawapan Abang Johari apabila ditanya mengenai pilihan raya negeri Sarawak. Beliau berkata lebih sibuk memikirkan bagaimana hendak meletakkan wang di tangan rakyat daripada memikirkan pilihan raya.
“Tetapi dalam kes Negeri Sembilan, BN pula dilihat lebih memberi tumpuan kepada usaha mendapatkan semula kuasa,” katanya.
Mengulas kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan BN selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Khalid berkata, gabungan itu dibentuk atas keperluan mewujudkan kerajaan Persekutuan yang stabil apabila tiada gabungan memperoleh majoriti mudah.
Beliau berkata, keputusan berkenaan dibuat menerusi rundingan di peringkat kepimpinan tertinggi yang membabitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Ketika itu tiada pilihan kerana kerajaan perlu dibentuk dengan segera. Jika tidak, PH akan kekal sebagai pembangkang dan kerajaan mungkin dibentuk oleh gabungan lain.
“Keputusan yang dibuat ketika itu adalah bagi memastikan negara mempunyai sebuah kerajaan yang stabil,” katanya.
Khalid berkata, setakat pengetahuannya, komitmen untuk mengekalkan kerjasama sehingga Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) hanya dinyatakan di peringkat Persekutuan dan bukannya membabitkan kerajaan negeri.
Namun, beliau menyifatkan tindakan BN meninggalkan kerajaan Negeri Sembilan walaupun telah diberikan jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) serta pelbagai pelantikan lain sebagai sesuatu yang mengecewakan.
“PH dan BN memang bersaing sebelum ini, tetapi selepas PRU15 kita menerima hakikat bahawa kerjasama perlu dibentuk demi kestabilan negara.
“Apabila perkara seperti ini berlaku di peringkat negeri, ia memberi gambaran bahawa masih ada pihak yang mengutamakan kepentingan politik berbanding semangat kerjasama yang dipersetujui,” katanya.





