SEREMBAN – Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Samad berpandangan Pas membuat pengorbanan besar dalam rundingan pembahagian kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan apabila memberi laluan kepada UMNO untuk menerajui kerajaan negeri sekiranya gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) memperoleh kemenangan.
Beliau berkata, pembahagian kerusi yang dipersetujui kedua-dua gabungan itu menunjukkan Pas hanya bertanding di sebahagian kecil daripada kerusi yang diperuntukkan kepada PN, sekali gus menyifatkan keadaan itu sebagai Pas ‘menyerah tengkuk’ kepada UMNO.
“Kalau kita tengok daripada jumlah kerusi, BN bertanding di 25 kerusi manakala PN di 11 kerusi. Daripada 11 kerusi itu, Pas hanya bertanding kira-kira lima kerusi, manakala selebihnya diberikan kepada parti komponen lain.
“Maknanya Pas secara amnya sudah bersetuju menyerahkan kepimpinan kerajaan Negeri Sembilan kepada UMNO. Pada pandangan saya, tindakan itu merupakan satu pengkhianatan terhadap perjuangan yang dibina oleh ahli Pas di peringkat akar umbi selama ini,” katanya ketika ditemui The Malaysia Press (TMP), di sini pada Rabu.
Khalid berkata, sekiranya Pas benar-benar mahu berkongsi kuasa dengan BN, parti itu sepatutnya memastikan UMNO tidak memperoleh jumlah kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan secara bersendirian.
“Kalau hendak berkongsi kuasa sekalipun, mereka sepatutnya memastikan jumlah kerusi UMNO tidak cukup untuk membentuk kerajaan. Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya apabila UMNO diberikan kelebihan yang membolehkan mereka mengetuai kerajaan jika gabungan itu menang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut berpandangan kerjasama BN-PN masih belum tentu dapat diterjemahkan kepada sokongan di peringkat akar umbi kerana penyokong kedua-dua parti telah lama bersaing antara satu sama lain.
Menurutnya, kejayaan gabungan itu bergantung kepada kesanggupan penyokong UMNO mengundi calon Pas dan penyokong PN pula memberikan undi kepada calon BN.
“Keputusan pilihan raya akan bergantung kepada sejauh mana kerjasama ini benar-benar dapat diterima di peringkat bawah.
“Kalau penyokong UMNO sanggup mengundi calon Pas dan penyokong PN pula sanggup mengundi calon BN, mungkin apa yang dirancang itu akan berjaya. Tetapi saya melihat masih ramai yang tidak begitu selesa dengan kerjasama ini,” katanya.
Mengulas keputusan BN meninggalkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) di Negeri Sembilan, Khalid menyifatkan tindakan itu bukan berpunca daripada kegagalan kerajaan negeri memenuhi komitmen terhadap BN.
Beliau berkata, sepanjang pentadbiran kerajaan perpaduan di Negeri Sembilan, wakil BN diberikan jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) serta pelbagai pelantikan lain seperti penghulu, ketua kampung dan ahli majlis mengikut persetujuan antara kedua-dua pihak.
“Tiada pengkhianatan dilakukan terhadap BN. Kita berpegang kepada persetujuan yang dicapai dan memberikan mereka tempat dalam pentadbiran negeri.
“Namun, pada pandangan saya, mereka tidak dapat menerima kedudukan sebagai rakan yang lebih kecil dalam kerajaan. Apa yang mereka mahukan ialah jawatan Menteri Besar.
“Perkara ini amat mengecewakan kerana ia memberi gambaran bahawa kepentingan parti dan kuasa lebih diutamakan berbanding kepentingan rakyat Negeri Sembilan,” ujarnya.


