
KANGAR – Kerajaan Negeri Perlis merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas komitmen dan keprihatinan dalam menjayakan pelbagai projek pembangunan bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat di negeri ini.
Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berkata, sokongan berterusan Kerajaan Persekutuan memainkan peranan penting dalam memperkukuh infrastruktur asas serta merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri.
Kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri turut membuka ruang kepada pembangunan ekonomi baharu yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat, katanya.
“Kerajaan negeri merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas keprihatinan dan komitmen yang jitu dalam menjayakan pelbagai projek pembangunan di negeri ini.
“Sokongan yang berterusan ini bukan sahaja memperkukuh infrastruktur asas, malah membuka ruang pertumbuhan ekonomi baharu serta meningkatkan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri Perlis 2027 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di sini, hari ini.
Menurut Abu Bakar, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober lalu turut mengumumkan beberapa projek pembangunan strategik di Perlis.
Antaranya termasuk pembangunan infrastruktur di Kawasan Pembangunan Lembah Chuping serta NCER Agrobio Economic Zone yang berpotensi membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan kepada penduduk setempat.
Selain itu, penyediaan mesin pengimbas di Pelabuhan Darat Perlis turut membantu melancarkan aktiviti perdagangan, di samping memperkukuh aspek keselamatan sempadan.
Kerajaan Persekutuan turut memberi perhatian terhadap pembangunan kemudahan awam menerusi projek menaik taraf taman, tandas dan gerai awam di Kompleks Usahawan Tempatan di Kuala Perlis.



