Gambar hiasan
KUANTAN – Kerajaan Pahang terus mengekalkan disiplin pengurusan kewangan apabila membentangkan belanjawan surplus secara konsisten sejak 2019 hingga 2027.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pendekatan berbelanja mengikut kemampuan menjadi prinsip utama Kerajaan Negeri bagi memastikan kedudukan kewangan kekal kukuh tanpa membebankan generasi akan datang.
Menurutnya, hasil negeri turut melebihi RM1 bilion selama lima tahun berturut-turut sejak 2022, manakala hutang negeri berjaya dikurangkan daripada RM3.3 bilion pada 2018 kepada RM825 juta.
“Kalau pendapatan kita RM100, kita mesti berbelanja di bawah RM100. Kita tidak mahu berbelanja melebihi kemampuan sehingga akhirnya membebankan negeri untuk masa akan datang,” katanya, seperti dilapor Pahang Media.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Wan Rosdy menjawab persoalan Ahli Dewan Undangan Negeri Cheka, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengenai keperluan menggunakan lebihan kewangan bagi mempercepatkan penyelesaian isu pembangunan termasuk jalan raya dan bekalan air.
Beliau menjelaskan, lebihan hasil berbanding perbelanjaan bukan bermakna Kerajaan Negeri mengetepikan keperluan pembangunan, sebaliknya ia dijadikan simpanan bagi menghadapi keperluan mendesak dan luar jangka.
“Surplus ini kita simpan, kalau sekiranya dalam tempoh tertentu ada keperluan yang mendesak, kita boleh guna.
“Banjir sebagai contoh, peruntukan memang sudah disediakan tetapi kalau sekiranya masih tidak cukup, kita masih boleh guna,” katanya.
Beliau turut menegaskan pembangunan adalah proses berterusan dan Kerajaan Negeri tidak boleh menunggu sehingga semua pembangunan selesai sebelum menggunakan lebihan kewangan.
Katanya, kejayaan mengurangkan hutang negeri membuktikan prinsip pengurusan kewangan yang diamalkan Kerajaan Negeri memberi hasil positif dan mengimbangi keperluan pembangunan semasa dengan kelestarian kewangan jangka panjang.



