Manifesto PH: Aminuddin pertaruh kesinambungan, bukan janji bulan dan bintang

DALAM landskap pilihan raya, manifesto sering menjadi medan parti politik menawarkan pelbagai janji baharu bagi memikat pengundi seperti bantuan kewangan, projek pembangunan dan pelbagai tawaran populis lazimnya menjadi antara elemen utama untuk mencuri perhatian.

Namun, pendekatan Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini dilihat mengambil laluan berbeza apabila tidak terlalu menonjolkan janji baharu, sebaliknya meletakkan rekod pentadbiran lapan tahun sebagai asas utama untuk mendapatkan mandat baharu.

Mesej yang cuba dibawa Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun ketika melancarkan manifesto PH jelas bahawa rakyat Negeri Sembilan bukan ditawarkan perubahan mendadak, sebaliknya kesinambungan kepada pembangunan yang didakwa sudah dimulakan sebelum ini selaian berada di landasan yang betul dan hanya memerlukan kesinambungan untuk melangkah ke fasa pembangunan seterusnya.

Slogan ‘Lapan Tahun Membina, Lima Tahun Melonjak’ yang menjadi kerangka utama manifesto PH menggambarkan usaha meyakinkan pengundi bahawa tempoh pentadbiran lalu digunakan untuk membina asas, memperkukuh kedudukan kewangan negeri serta menarik pelaburan, sebelum hasilnya diterjemahkan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Daripada sudut strategi komunikasi politik, pendekatan itu menunjukkan PH dilihat menjadikan PRN Negeri Sembilan sebagai penilaian terhadap prestasi kerajaan negeri, bukannya pertandingan yang berlegar kepada polemik politik nasional.

Menariknya, hampir tiada sindiran atau sekelumit serangan oleh Aminuddin dalam ucapannya terhadap lawan politiknya, namun lebih banyak mengangkat tema seperti kestabilan, amanah, rekod pencapaian dan hala tuju masa depan negeri.

Pendekatan sedemikian memberi mesej bahawa PH mahu meletakkan pilihan raya kali ini sebagai pertarungan antara kesinambungan dan perubahan, paling mudah untuk kita fahami iaitu pengundi tidak perlu membuat eksperimen baharu jika kerajaan sedia ada masih mampu memberikan kestabilan dan hala tuju yang jelas.

Satu lagi perkara yang menonjol ialah bagaimana Aminuddin cuba mengangkat perbincangan mengembangkan naratif manifesto melepasi tempoh satu penggal pentadbiran apabila banyak menyentuh soal generasi akan datang dan negeri yang ingin diwariskan kepada anak-anak.

Beliau acap kali mengulangi ingin memberikan keutamaan terhadap masa depan anak muda, peluang pekerjaan dan negeri yang ingin diwariskan, memperlihatkan usaha membina gambaran jangka panjang mengenai arah pembangunan Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, beliau menyedari visi besar perlu diterjemahkan dalam isu yang dekat dengan kehidupan rakyat dan kerana itu manifesto itu turut memberi perhatian kepada persoalan asas seperti kemampuan memiliki rumah, peningkatan pendapatan, peluang pekerjaan, kebajikan warga emas serta masa depan golongan muda dalam menentukan sama ada Negeri Sembilan mampu menjadi tempat untuk membina kehidupan.

Dengan erti kata lain, projek mega dan pelaburan hanya dijadikan alat manakala matlamat akhirnya adalah meningkatkan kualiti hidup rakyat. Antara komponen utama yang diketengahkan ialah usaha menjadikan Negeri Sembilan sebagai ‘Central Corridor Pembangunan Harapan Malaysia’ menerusi pembangunan sektor teknologi, industri, logistik dan modal insan.

Konsep sedemikian cuba mengubah persepsi Negeri Sembilan bukan lagi sekadar negeri yang berada di antara Kuala Lumpur dan Melaka tetapi sebuah pusat pertumbuhan baharu yang menghubungkan teknologi, logistik, industri dan modal insan.

Atas sebab itu, pelbagai projek berimpak tinggi seperti Malaysia Vision Valley 2.0, NS Semiconductor Valley dan Nilai Advanced Photonic AI Manufacturing City diketengahkan sebagai pemacu pertumbuhan baharu.

Walaupun istilah seperti semikonduktor dan kecerdasan buatan mungkin kedengaran teknikal kepada sebahagian rakyat, mesej politik yang cuba dibina sebenarnya mudah, iaitu menarik pelaburan bagi mewujudkan lebih banyak pekerjaan berpendapatan tinggi supaya anak muda tidak perlu berhijrah ke negeri lain.

Sementara itu, Aminuddin juga cukup berhati-hati agar pembangunan yang dibawa tidak dilihat terlalu tertumpu kepada industri semata-mata namun, mengimbangi naratif itu dengan menyentuh Adat Perpatih, institusi Islam, alam sekitar, pertanian, desa dan keharmonian masyarakat majmuk.

Pendekatan terbabit penting kerana identiti Negeri Sembilan tidak hanya dibentuk oleh kawasan perindustrian, tetapi juga masyarakat luar bandar yang masih kuat berpegang kepada adat dan tradisi.

Secara keseluruhan, pendekatan ini juga menunjukkan Aminuddin cuba meletakkan dirinya sebagai pemimpin seluruh Negeri Sembilan, bukan sekadar pemimpin PH yang memperlihatkan beliau mengambil pendekatan yang berbeza daripada kebiasaan kempen pilihan raya dalam membentangkan manifesto.

Beliau mempertaruhkan rekod pentadbiran, kestabilan politik dan keyakinan terhadap masa depan Negeri Sembilan sebagai modal utama untuk memohon mandat baharu berbanding memenangi hati pengundi melalui janji yang banyak atau serangan politik keras.

Sama ada pengundi memilih untuk meneruskan agenda yang sedang dilaksanakan atau memberikan peluang kepada pendekatan baharu, keputusan itu akhirnya bergantung kepada keyakinan mereka terhadap siapa yang lebih mampu memenuhi harapan rakyat dalam tempoh lima tahun akan datang.

Related Posts

PH masih raih undi popular, namun tewas akibat sistem FPTP – Dr Hafidzah

KOTA BHARU – Pakatan Harapan (PH) masih mendapat sokongan besar rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan 2026 apabila merekodkan 40.2 peratus undi popular, namun gagal mempertahankan pentadbiran negeri…

Lebih lanjut

teruskan membaca
30 calon PRN Negeri Sembilan hilang wang deposit

KUALA LUMPUR – Sebanyak 30 calon hilang wang deposit selepas gagal memperoleh sekurang-kurangnya satu perlapan daripada keseluruhan jumlah undi yang dikira, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16. Bersatu…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Anwar sambut baik pertemuan dengan Mufti Besar India di Keralam

Anwar sambut baik pertemuan dengan Mufti Besar India di Keralam

Kampung Siaga 221 perkasa kesiapsiagaan komuniti hadapi bencana

Kampung Siaga 221 perkasa kesiapsiagaan komuniti hadapi bencana

Semikonduktor lonjak kerjasama industri Malaysia-India

Semikonduktor lonjak kerjasama industri Malaysia-India

Malaysia perluas pasaran Afrika menerusi kerjasama Ethiopia

Malaysia perluas pasaran Afrika menerusi kerjasama Ethiopia

Anwar seru diplomasi, elak ketegangan berterusan di Asia Barat

Anwar seru diplomasi, elak ketegangan berterusan di Asia Barat

Jangan sekadar berkokok, kalau berani tarik sokongan

Jangan sekadar berkokok, kalau berani tarik sokongan