Pengalaman misi kemanusiaan jadi bekalan Danish dekati rakyat Chembong

REMBAU – Pengalaman mengendalikan misi bantuan kemanusiaan di peringkat antarabangsa menjadi bekalan berharga yang mahu dimanfaatkan calon termuda Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chembong, Danish Nazran Murad, jika diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Aktivis kemanusiaan berusia 27 tahun itu berkata, penglibatannya dalam pelbagai misi bantuan bukan sahaja membentuk ketahanan fizikal dan mental, malah mengajarnya memahami keperluan masyarakat serta pentingnya kepimpinan berasaskan khidmat.

Menurut beliau, pengalaman itu menjadi asas untuk beliau membawa pendekatan lebih dekat dengan rakyat dan mencari penyelesaian kepada isu setempat sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat

“Pengalaman menyertai Global Sumud Flotilla 2.0 benar-benar menguji ketahanan fizikal dan mental saya. Semua proses termasuk tribunal dilakukan ketika kami berada dalam tahanan sebelum diarahkan meninggalkan negara itu.

“Saya mengambil pengalaman tersebut sebagai satu pengajaran yang membentuk daya tahan diri, dan semangat itu saya bawa dalam medan politik hari ini. Nilai itu yang saya mahu bawa dalam politik,” katanya ketika ditemui The Malaysia Press (TMP) dalam kempen PRN di Chembong, pada Selasa.

Menurut Danish, beliau percaya pengalaman menguruskan misi bantuan kemanusiaan di peringkat antarabangsa boleh dimanfaatkan untuk berkhidmat kepada masyarakat di Chembong.

Mengulas lanjut, graduan Sarjana Muda Sains Sosial (Kajian Politik dan Pemerintahan) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) itu berkata, antara fokus ingin diberikan perhatian adalah pembangunan kawasan secara lebih terancang dengan mengambil kira pandangan serta kerjasama dengan pelbagai pihak.

“Kalau bercakap soal pembangunan, kita perlu realistik. Saya mahu berbincang dengan semua pihak supaya kita tahu apa yang benar-benar diperlukan dan apa yang boleh dibangunkan di Chembong.

“Kawasan ini mempunyai sektor perindustrian yang berpotensi diperkasakan lagi bagi menarik lebih banyak pelaburan dan membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat,” katanya.

Sementara itu, Danish mengakui berasa gementar apabila diberi kepercayaan oleh PH untuk bertanding, namun menyifatkan amanah itu sebagai tanggungjawab besar yang perlu digalas sebaik mungkin.

Sebagai calon muda, beliau memaklumkan, pihaknya perlu bekerja lebih keras untuk memperkenalkan diri kepada pengundi dengan mendekati semua lapisan masyarakat tanpa mengira usia dan kaum.

“Saya sedar masih ramai yang belum mengenali saya. Sebab itu saya memilih untuk turun padang, bertemu sendiri dengan rakyat dan mendengar apa yang mereka mahukan daripada seorang wakil rakyat

“Lawan saya adalah penyandang yang menguasai kerusi itu selama tiga penggal. Pastinya ia satu tugas besar untuk saya mengalahkan beliau dalam kubu kuatnya.

“Jangan hanya lihat pada usia saya. Meskipun baru bertanding dalam pilihan raya, saya berpengalaman membantu jentera dan ia boleh digunakan bagi menghadapi PRN ini,” katanya.

Related Posts

PH masih raih undi popular, namun tewas akibat sistem FPTP – Dr Hafidzah

KOTA BHARU – Pakatan Harapan (PH) masih mendapat sokongan besar rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan 2026 apabila merekodkan 40.2 peratus undi popular, namun gagal mempertahankan pentadbiran negeri…

Lebih lanjut

teruskan membaca
30 calon PRN Negeri Sembilan hilang wang deposit

KUALA LUMPUR – Sebanyak 30 calon hilang wang deposit selepas gagal memperoleh sekurang-kurangnya satu perlapan daripada keseluruhan jumlah undi yang dikira, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16. Bersatu…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Anwar sambut baik pertemuan dengan Mufti Besar India di Keralam

Anwar sambut baik pertemuan dengan Mufti Besar India di Keralam

Kampung Siaga 221 perkasa kesiapsiagaan komuniti hadapi bencana

Kampung Siaga 221 perkasa kesiapsiagaan komuniti hadapi bencana

Semikonduktor lonjak kerjasama industri Malaysia-India

Semikonduktor lonjak kerjasama industri Malaysia-India

Malaysia perluas pasaran Afrika menerusi kerjasama Ethiopia

Malaysia perluas pasaran Afrika menerusi kerjasama Ethiopia

Anwar seru diplomasi, elak ketegangan berterusan di Asia Barat

Anwar seru diplomasi, elak ketegangan berterusan di Asia Barat

Jangan sekadar berkokok, kalau berani tarik sokongan

Jangan sekadar berkokok, kalau berani tarik sokongan