
MUKAH – Lebih 1,000 penduduk setempat membanjiri Dataran Pehin Setia Raja di sini bagi menyemarakkan Sambutan Hari Sarawak Ke-63 Peringkat Daerah Mukah pada Rabu.
Acara yang membawa tema ‘Sarawak Maju Makmur’ itu menyaksikan para peserta mula berkumpul seawal jam 6.30 pagi dalam suasana penuh patriotik.
Perhimpunan mega itu turut mendapat penyertaan menyeluruh daripada pelbagai agensi kerajaan, badan berkanun, institusi pendidikan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) setempat.
Majlis sambutan itu diserikan lagi dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine bersama keluarganya.
Bagi menyuntik elemen kecergasan, Royston turut menyempurnakan acara pelepasan bagi dua aktiviti utama iaitu Sarawak Day Fun Run dan Sarawak Day Fun Walk.
Menurut beliau, penganjuran acara sukan santai berkenaan bukan sekadar bertujuan menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan komuniti luar bandar.

Malah tegasnya, ia bertindak sebagai ejen penyatuan dalam menyemarakkan lagi semangat perpaduan erat serta menanam rasa kecintaan yang mendalam terhadap Bumi Kenyalang.
“Sambutan Hari Sarawak ke-63 ini merupakan platform terbaik untuk kita sama-sama memperingati lipatan sejarah dan menghargai jasa serta perjuangan tokoh pemimpin terdahulu.
“Pada masa sama, momentum kebersamaan ini perlu diperkukuh oleh seluruh rakyat bagi merealisasikan aspirasi Sarawak Maju Makmur menjelang masa hadapan,” katanya.



