
SANDAKAN – Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) Sabah menahan 14 lelaki warga China yang disyaki terbabit dalam kegiatan penipuan dalam talian menerusi Ops Serkap di sebuah banglo tiga tingkat di kawasan elit di Kota Kinabalu, pada Rabu.
Pengarah Imigresen Sabah, Datuk Sh. Siti Saleha Habib Yussof berkata, kesemua lelaki berumur antara 26 hingga 44 tahun itu ditahan sepasukan pegawai penguat kuasa dari Ibu Pejabat Imigresen Kota Kinabalu.
“kumpulan itu dipercayai menggunakan Pas Lawatan Sosial untuk memasuki Sabah sebagai pelancong, namun siasatan mendapati mereka melakukan beberapa kesalahan imigresen termasuk tinggal lebih masa dan gagal memiliki dokumen perjalanan yang sah.
“Siasatan turut mendapati empat daripada mereka memasuki Sabah selepas transit di Kemboja, lima lagi melalui penerbangan terus dari China, manakala lima yang lain transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Program Pemindahan Tahanan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) Balik ke Negara Asal di Depot Imigresen Sandakan, pada Khamis.
Menurutnya, kumpulan berkenaan dipercayai memasuki Sabah pada 3 Ogos dan hanya dibenarkan berada di negara ini selama 30 hari sebagai pelancong, namun masih berada di negeri ini selepas tempoh berkenaan tamat.
“Kita mengesyaki mereka telah menjalankan aktiviti penipuan dalam talian (online scam) sejak Ogos lalu.
“Pemeriksaan terhadap komunikasi dalam telefon bimbit yang dirampas turut menunjukkan panggilan berkenaan dipercayai melibatkan sasaran di Malaysia, Sabah dan luar negara.
“Modus operandi kumpulan terbabit ialah menyewa rumah mewah untuk dijadikan lokasi menjalankan kegiatan haram dalam talian” jelasnya.

Siti Saleha berkata, 13 individu dikenal pasti melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal lebih masa, manakala seorang lagi disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) akta sama kerana tidak memiliki pas atau permit yang sah.
Katanya, pihaknya turut merampas 14 unit komputer riba berserta kelengkapan komputer, satu set peralatan internet, 75 telefon bimbit daripada pelbagai jenama dan wang tunai berjumlah RM3,742 dan mata wang China sebanyak CNY560 (Yuan China).
Dalam perkembangan lain, Siti Saleha berkata, Imigresen Sabah menahan 238 majikan sepanjang tahun ini, dengan 31 daripadanya telah didakwa di mahkamah manakala dua lagi masih dalam proses perbicaraan.
“Tindakan penguatkuasaan terhadap majikan terbabit turut membabitkan kompaun berjumlah RM2.1 juta secara keseluruhan,” tambahnya.
Foto : Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah



