
PUTRAJAYA – Kerajaan bertindak pantas dan telus dalam menangani isu pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dalam syarikat pemula teknologi akuakultur Indonesia, eFishery, sekali gus memastikan kepentingan pencarum dan pesara terus dilindungi.
Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM), Mohd Hisyamuddin Ghazali berkata, tindakan segera kerajaan selepas isu itu dikesan membuktikan komitmen pentadbiran MADANI terhadap prinsip akauntabiliti dan tadbir urus yang baik.
Menurut beliau, pemilik eFishery, Gibran Huzaifah, telah ditangkap dan dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun di Indonesia, manakala kerajaan Malaysia mula mengambil tindakan sebaik sahaja perkembangan itu diketahui pada April lalu.
“Ini menunjukkan kerajaan dan KWAP bertindak dengan sangat pantas. Apabila maklumat diperoleh, tindakan segera diambil tanpa berlengah,” katanya kepada The Malaysia Press.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di sini hari ini.
Beliau turut menjelaskan bahawa Malaysia bukan satu-satunya negara yang melabur dalam eFishery kerana syarikat itu turut menerima pelaburan daripada beberapa dana dan syarikat antarabangsa, termasuk pelabur dari Singapura, Belanda serta institusi pelaburan global.
“Justeru, adalah tidak wajar untuk menuduh kerajaan Malaysia cuai dalam membuat pelaburan kerana banyak pelabur institusi bertaraf dunia turut melabur dalam syarikat tersebut,” katanya.
Mohd Hisyamuddin berkata, tindakan kerajaan menjawab isu itu secara terbuka di Parlimen membuktikan pentadbiran hari ini tidak menyembunyikan sebarang maklumat dan bersedia memberikan penjelasan kepada rakyat.
Beliau yakin Kementerian Kewangan akan mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya bagi mendapatkan semula dana yang terlibat demi melindungi kepentingan negara.
“Kita pernah berjaya mendapatkan semula sebahagian besar aset dalam skandal 1MDB. Saya percaya usaha yang sama akan dilakukan bagi memastikan wang KWAP dapat dipulihkan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kenyataan media KWAP yang memaklumkan pelaburan dalam eFishery hanya melibatkan RM163.4 juta atau kira-kira 2.51 peratus pegangan saham menunjukkan kedudukan kewangan dana persaraan itu masih kukuh.
“Keuntungan keseluruhan KWAP jauh lebih besar dan yang paling penting, dana pencen penjawat awam tidak terjejas akibat pelaburan ini,” katanya.
Terdahulu, KWAP menjelaskan jumlah keseluruhan pelaburannya dalam eFishery adalah sebanyak RM163.4 juta, bersamaan kira-kira 2.51 peratus pegangan saham syarikat berkenaan, selain memberi jaminan bahawa kedudukan dana persaraan kekal stabil.






