
KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak pernah campur tangan dalam sebarang urusan atau keputusan pelaburan yang dibuat oleh agensi pelaburan kerajaan, termasuk Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, setiap keputusan pelaburan ditentukan oleh panel pelaburan profesional yang dilantik, selain melalui proses usaha wajar (due diligence) dan penelitian menyeluruh sebelum dibentangkan kepada lembaga pengarah.
“(Panel ini) terdiri daripada golongan profesional terpilih. Selalunya keputusan itu dibuat dan dibentangkan kepada lembaga dan tidak memerlukan kelulusan Kementerian Kewangan (MoF).
“Keseluruhannya itu (panel dilantik dan lembaga) dari latar belakang profesional. Kalau dalam lembaga, tentunya ada wakil daripada kementerian, itu biasa. Tapi kalau pandang pelaburan, itu ‘strictly’ profesional.
“Sebab itu, sejak saya di MoF, laluan penuh, tidak ada campur tangan kerajaan, atau pun tidak ada keperluan untuk membawa cadangan pelaburan untuk pertimbangan kerajaan atau Menteri Kewangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Senator Mohd Hasbie Muda mengenai kerugian pelaburan KWAP dalam syarikat teknologi akuakultur Indonesia, eFishery, pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara, hari ini.
Anwar berkata, pihak yang dipertanggungjawabkan menguruskan dana persaraan sentiasa berusaha melindungi serta meningkatkan nilai pelaburan menerusi strategi yang bersesuaian.
“Mereka tentunya mengambil tindakan untuk mengurangkan risiko dan menjamin pulangan yang adil,” katanya sambil menambah oleh kerana pelaburan KWAP menyentuh kepentingan awam, tentunya kerajaan tidak boleh berselindung.
Beliau berkata, kerajaan mengambil pendekatan telus dengan mengumumkan kerugian pelaburan berjumlah RM160 juta dalam eFishery kerana ia membabitkan dana persaraan rakyat.
“Pelaburan (KWAP dalam eFishery) sekitar RM160 juta saya pilih untuk umumkan, kerana wang ini dana persaraan. RM160 juta itu dilabur dalam syarikat teknologi akuakultur Indonesia, e-Fishery. Tetapi ternyata sekarang, ada penipuan terancang.
“Soalannya, mengapa tidak diteliti? Jawabnya tentunya dari panel pelaburan, (sudah) diteliti. Kerana dana dilabur itu walaupun (jumlahnya) besar, tapi kecil ketimbang dilakukan syarikat antarabangsa terkenal lain yang (jumlahnya) lebih besar. Penipuan ini, penipuan sangat canggih,” katanya.
Beliau berkata, penipuan berkenaan bukan sahaja menjejaskan KWAP, malah turut membabitkan beberapa dana pelaburan antarabangsa yang terkenal.
“Anwar berkata, bukan saja dana pelaburan dari Eropah seperti Aqua Spark terjejas, malah ramai lagi termasuk 42X Fund dari Abu Dhabi, Temasek dari Singapura serta pengurus dana terkenal dunia, SoftBank.
“Itu semua pelaburan yang jauh lebih tinggi dari KWAP. Mereka semua terpedaya dan orang dipertanggungjawabkan itu sudah pun dipenjara. Tapi saya ingin sebut, apa kesannya kepada panel pelaburan dan juga KWAP. Kita harus menilai, melihat keseluruhannya,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Anwar berkata, meskipun KWAP mengalami kerugian RM160 juta daripada pelaburan itu, prestasi keseluruhan dana berkenaan kekal kukuh dengan keuntungan bersih RM12.9 bilion dan pertumbuhan dana sebanyak 9.3 peratus.
“Iaitu pertumbuhan dana sebanyak 9.3 peratus. Jadi, kalau pun kita mohon supaya mereka (yang mengkritik) lebih waspada, kita harus lihat keseluruhannya (pencapaian pelaburan KWAP) dan kaedah tindakannya. Apakah KWAP ini hanya melabur di syarikat asing? Tidak benar.
“Kerana itu ‘startup’ Indonesia. Tapi ‘startup’ di Malaysia yang dilabur juga tinggi. Selain projek yang kita jana melalui usaha MoF, iaitu GEAR-uP, juga melibatkan KWAP, membabitkan RM30 bilion dana termasuk kepada syarikat Bumiputera.
“Jadi, saya mohon semua melihat keseluruhannya kerana keuntungan dan pertumbuhan yang disebut pertumbuhan tahunan melebihi 8.5 peratus,” katanya.






