
KOTA BELUD – Universiti Malaysia Sabah (UMS) memperkukuh kesiapsiagaan komuniti Kampung Melangkap Kapa menerusi penyaluran bekalan kesiapsiagaan bencana bagi meningkatkan keupayaan penduduk bertindak sebagai responden pertama sekiranya berlaku kebakaran.
Pengarah Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC) UMS, Profesor Madya Dr. Carolyn Melissa Payus berkata, inisiatif itu dilaksanakan menerusi Makmal Hidup Bencana Alam (MaHBAM) UMS dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kota Belud.
Katanya, tindakan awal yang pantas oleh komuniti mampu membantu mengawal kebakaran pada peringkat awal sekali gus mengurangkan risiko kehilangan nyawa serta kerugian harta benda sebelum ketibaan pasukan penyelamat.
“Bagi memastikan peralatan yang disalurkan dapat dimanfaatkan sepenuhnya, JBPM Kota Belud turut mengendalikan latihan praktikal penggunaan alat pemadam api bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran penduduk mengendalikan situasi kecemasan secara selamat dan berkesan,” katanya dalam kenyataan media pada Khamis.
Carolyn berkata, program itu dilaksanakan susulan insiden kebakaran pada 21 Februari lalu yang memusnahkan 12 rumah dan menyebabkan tiga lagi mengalami kerosakan.
“Insiden itu turut mendedahkan kekurangan peralatan pemadaman kebakaran di peringkat komuniti selain cabaran akses jentera bomba ke kawasan kampung.
“Pendekatan yang menggabungkan penyaluran peralatan dan latihan praktikal diharap dapat memperkukuh budaya kesiapsiagaan bencana dalam kalangan komuniti serta meningkatkan keyakinan penduduk untuk bertindak segera sekiranya berlaku kecemasan,” katanya.
Pada majlis itu, Carolyn turut menyampaikan bekalan kesiapsiagaan bencana kepada Ketua Kampung Melangkap Kapa ,James Palit, yang mewakili Task Force Bencana kampung berkenaan.






