Siasat dalang boloskan PATI, kebocoran di hulu perlu diutamakan

PUTRAJAYA – Keperluan agar budaya hanya menahan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang sudah berada dalam negara tanpa menutup kebocoran di pintu masuk dihentikan dengan kadar segera.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, tumpuan penguatkuasaan tidak seharusnya hanya diberikan kepada tindakan di peringkat hiliran, sebaliknya punca kemasukan warga asing di ‘hulu’ secara tidak sah perlu ditangani dari peringkat awal.

Beliau berkata, sekiranya rasuah menjadi faktor yang membuka ruang kemasukan warga asing melalui pintu masuk negara, elemen berkenaan perlu ditutup terlebih dahulu bagi memastikan usaha penguatkuasaan lebih berkesan.

“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Jabatan Imigresen Malaysia serta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) perhebatkan siasatan kewujudan amalan “kaunter setting” di pintu masuk antarabangsa negara yang kelihatan semakin serius terus membuka ruang kepada kemasukan warga asing melalui pengaturan dengan pihak tertentu.

“MCW menerima maklumat daripada sumber dalaman penguatkuasaan yang selama ini memberikan maklumat yang konsisten dan mempunyai pengetahuan mengenai situasi di lapangan. Dakwaan yang dikemukakan amat serius dan tidak boleh sekadar dipandang sebagai khabar angin. Ia perlu disahkan atau disangkal melalui siasatan profesional.

“Kita mempersoalkan keberkesanan operasi besar-besaran memburu PATI jika kebocoran di pintu masuk negara sendiri tidak ditangani sehingga ke akar umbi. Jangan hanya tangkap PATI yang sudah bolos. Siasat siapa yang memboloskan mereka,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), pada Khamis.

Mengulas lanjut, Jais berkata, jika warga asing boleh masuk sebagai “pelancong” tetapi kemudiannya tinggal dan bekerja secara tidak sah, pihak berkuasa perlu meneliti keseluruhan rantaian kemasukan golongan terbabit.

Menurut beliau, siasatan perlu merangkumi sama ada pemeriksaan di pintu masuk dilakukan mengikut prosedur, kewujudan ejen atau sindiket serta kemungkinan penglibatan pegawai yang bersekongkol atau menerima rasuah.

“MCW menggesa SPRM menjalankan audit forensik berasaskan data dengan memadankan rekod kemasukan warga asing, kaunter yang digunakan, pegawai bertugas, masa kelulusan, rakaman CCTV.

“Pada masa sama, corak perjalanan perlu diaudit. Sebarang pola luar biasa yang berulang perlu menjadi ‘red flag’ untuk siasatan lanjut,” katanya.

Tambahnya, MCW turut menggesa saluran yang selamat disediakan kepada pegawai berintegriti yang mempunyai maklumat dalaman supaya mereka dapat tampil menyalurkan maklumat tanpa rasa bimbang.

Katanya, sekiranya dakwaan mengenai kemungkinan berlaku rasuah pernah disalurkan kepada pihak berkuasa tetapi tidak diambil tindakan sewajarnya, penjelasan perlu diberikan sama ada ia telah disiasat, hasil siasatan atau sebab tindakan tidak diambil.

“MCW tidak menuduh keseluruhan warga Imigresen. Sebaliknya, tindakan tegas terhadap segelintir pengkhianat amanah adalah penting untuk melindungi majoriti pegawai yang jujur.

“Kita menegaskan bahawa rasuah di pintu masuk negara bukan sekadar salah laku individu. Ia adalah pengkhianatan terhadap amanah keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya.

Related Posts

MCMC wajibkan kandungan berbahaya disekat dalam tempoh 24 jam

KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kini mewajibkan semua pemberi perkhidmatan berlesen mengambil tindakan segera terhadap kandungan memudaratkan, termasuk menyekat akses kepada kandungan berkeutamaan…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Lebih ramai murid Cina ambil SPM berbanding UEC

KUALA LUMPUR – Jumlah murid berbangsa Cina yang mengikuti pendidikan menengah di sekolah bawah Kementerian Pendidikan (KPM) adalah lebih tinggi berbanding menerusi sistem pendidikan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC). Menteri Pendidikan,…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Lima ADUN PH sah keluar Kerajaan Negeri Melaka, Ahli Majlis dan JPKK turut berundur

Lima ADUN PH sah keluar Kerajaan Negeri Melaka, Ahli Majlis dan JPKK turut berundur

Bersatu mahu ‘mufarakah’ daripada PN – Annuar

Bersatu mahu ‘mufarakah’ daripada PN – Annuar

Kerajaan Perpaduan Perak kekal utuh hingga DUN dibubar – Saarani

Kerajaan Perpaduan Perak kekal utuh hingga DUN dibubar – Saarani

Program Perumahan Rakyat bukti komitmen kerajaan sedia kediaman selesa buat golongan sasar

Program Perumahan Rakyat bukti komitmen kerajaan sedia kediaman selesa buat golongan sasar

Polis trafik dipenjara 4 bulan terima rasuah guna akaun isteri

Polis trafik dipenjara 4 bulan terima rasuah guna akaun isteri

MCMC wajibkan kandungan berbahaya disekat dalam tempoh 24 jam

MCMC wajibkan kandungan berbahaya disekat dalam tempoh 24 jam