
KUCHING – Prihatin terhadap kebajikan pengamal media, Tabung Kasih@HAWANA x TM hari ini menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima iaitu jurufoto Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Jaed Anak Tepus, di kediamannya, di sini.
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah berkata, sumbangan berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk memastikan kebajikan pengamal media, sama ada yang masih berkhidmat mahupun veteran, terus diberi perhatian.
“Kerajaan sentiasa prihatin terhadap nasib pengamal media yang berdepan masalah kesihatan dan akan terus menyantuni golongan berkenaan menerusi pelbagai inisiatif kebajikan,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan penyerahan sumbangan.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.
Terdahulu, Jaed yang berusia 60 tahun telah disahkan menghidap ketumbuhan pada usus sejak Februari lalu. Beliau mula berkhidmat di UKAS pada 2023 selepas lebih sedekad berkhidmat di Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak dari 2012 hingga 2023.
Sebelum itu, beliau berkhidmat di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dari 1993 hingga 2012.
Penyerahan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA x TM akan diteruskan di Kota Samarahan, hari ini kepada salah seorang pengamal media Sarawak yang turut diuji dalam kesukaran sekarang ini.








