
KOTA KINABALU – Pasukan MAS D (Sabah B) dan MAS B (Sarawak) masing-masing muncul juara kategori lelaki dan wanita acara e-Sukan Mobile Legends sempena Sukan Persahabatan Rantau BIMP-EAGA Kali Ke-12 yang berlangsung di Palm Square, Centre Point Sabah, di sini pada Rabu.
Dalam kategori lelaki, pasukan MAS D (Sabah B) merangkul pingat emas selepas menewaskan pasukan MAS A (Sabah A) dengan keputusan 3-2 dalam aksi grand final yang berlangsung sengit.
Kemenangan itu diraih menerusi gandingan Mohammad Herdzieqasyrafiel Syawal bin Herman, 16, Muhammad Adam Danial Fung bin Nazaruddin, 17, Muhammad Ikhwan Naqib bin Ali, 21, Hon Seng Wei, 21, Shamsul bin Mustari, 19, dan Wester Lee Vun Wee.
Pasukan MAS A (Sabah A) yang dibarisi Ashley Chow Kar Kit, 18, Hasim Sia bin Jasri, 21, Hazriel Farish bin Johari, 21, Kris Wong Venky, 21, Mohammad Khairul bin Lanavia, 21, dan Muhammad Sahnizam bin Dramemnd, 20, terpaksa berpuas hati dengan pingat perak.
Sementara itu, pingat gangsa kategori lelaki menjadi milik pasukan PHI D (Puerto Princesa City) dari Filipina menerusi gandingan Vinz Lorenz I. Buenaflor, 17, Carlo P. Delos Santos, 21, Peter Anthony A. Gatinga, 21, Christian Joseph N. Navarra, 16, dan Kurt Russel Tagle, 21.
Bagi kategori wanita, pasukan MAS B (Sarawak) turut mencatat kemenangan tipis 3-2 ke atas pasukan MAS A (Sabah A) dalam aksi grand final untuk membawa pulang pingat emas.
Pasukan MAS B (Sarawak) diwakili Zayreel Sepai Paran, 21, Abby Then Jing Suen, 21, Hannah Wee May Yen, 18, Lydia Clarissa Anak Joseph, 20, dan Thian Hui Seng, 21.
Manakala, pasukan MAS A (Sabah A) yang meraih pingat perak dibarisi Ainsyafiqa Nazwa binti Akhbar, 20, Noryn Ashikin Airing binti Mohd Norzanyzan, 20, Allyana Nalfaezah bin Faisal, 18, Nur Adlina Safikah binti Safari, 20, Nur Izzati Safinah binti Safari, 21, dan Nurfatihah Say Syifa binti Madli, 21.
Pingat gangsa kategori wanita pula menjadi milik pasukan MAS C (Wilayah Persekutuan Labuan) menerusi barisan peserta Balqis Bathrisyia binti Iran, 20, Dayang Eryn Nabihah binti Awang Rodzan, 20, Katrina Shareyna Shahnorizan, 19, Khairunnisa Haneem binti Abdullah, 16, Raniya Farisha binti Azizi, 19, dan Siti Aisyah, 20.
Secara keseluruhan, Sabah meraih kejayaan menerusi pasukan MAS D (Sabah B) dalam kategori lelaki, manakala pasukan MAS B (Sarawak) mengungguli kategori wanita. Pasukan MAS A (Sabah A) pula berjaya membawa pulang pingat perak bagi kedua-dua kategori.
Pencapaian itu sekali gus membuktikan e-sukan semakin mendapat tempat dalam arena sukan serantau, selain membuka ruang kepada bakat muda untuk mengembangkan potensi dan mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.



