
SERIAN – Program Pemantapan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Daerah Serian menjadi platform penting dalam memperkukuh pengetahuan, kemahiran serta kefahaman pemimpin komuniti mengenai fungsi statutori dan tanggungjawab mereka dalam membantu memperkasakan sistem pentadbiran serta penyampaian perkhidmatan kerajaan di peringkat akar umbi.
Majlis penangguhan program berkenaan telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn di Dewan Panggah, Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Serian, di sini, pada Selasa.
Program yang dianjurkan oleh Pejabat Daerah Serian itu menghimpunkan Ketua-ketua Masyarakat dan Ketua-ketua Kaum dari seluruh daerah bagi meningkatkan keupayaan mereka dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pemimpin masyarakat yang menjadi penghubung utama antara kerajaan dengan rakyat.
Sepanjang program tersebut, para peserta telah mengikuti beberapa sesi ceramah dan taklimat yang dikendalikan oleh pegawai-pegawai daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan.
Sesi berkenaan memberi penerangan secara menyeluruh berkaitan fungsi statutori serta bidang kuasa yang perlu difahami oleh setiap KMKK dalam melaksanakan tugas harian mereka.
Antara topik yang dibincangkan ialah tugas dan tanggungjawab KMKK di peringkat daerah dan kampung, penyeliaan mahkamah, pengurusan lesen senapang patah, penyediaan serta pengesahan akuan berkanun, pendaftaran nama-nama perniagaan, selain prosedur berkaitan urusan probate dan surat kuasa mentadbir.
Selain memberi pendedahan terhadap aspek perundangan dan pentadbiran, program itu turut memberi peluang kepada peserta untuk mendapatkan penjelasan secara langsung daripada para penceramah mengenai isu-isu yang sering dihadapi dalam melaksanakan tanggungjawab di kawasan masing-masing. Pendekatan tersebut dilihat mampu meningkatkan kefahaman KMKK terhadap prosedur serta tatacara yang perlu dipatuhi dalam mengurus pelbagai urusan melibatkan masyarakat.
“Penganjuran program ini sejajar dengan usaha berterusan kerajaan Sarawak untuk memperkasakan institusi KMKK sebagai jentera pentadbiran di peringkat komuniti. Sebagai barisan hadapan yang berurusan secara langsung dengan masyarakat, KMKK memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat dasar kerajaan, membantu menyelesaikan isu-isu tempatan serta memudah cara urusan rakyat dengan jabatan dan agensi Kerajaan,” katanya.
Melalui pendedahan yang diberikan sepanjang program, para peserta diharap dapat meningkatkan profesionalisme, integriti serta kecekapan dalam menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan, di samping memperkukuh hubungan kerjasama antara komuniti dengan agensi kerajaan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan awam terus cekap, telus dan berkesan.
Roland Sagah turut merakamkan penghargaan kepada Pejabat Daerah Serian atas komitmen menganjurkan program tersebut yang disifatkan sebagai satu inisiatif penting dalam meningkatkan kompetensi serta kapasiti kepimpinan Ketua-ketua Masyarakat dan Ketua-ketua Kaum di daerah itu.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Residen Bahagian Serian, Mackos Sibong; Pegawai Daerah Serian, Inting Nyami; Temenggong Bidayuh Bahagian Serian, Temenggong Henry Bujang Sendan; Ketua-ketua Masyarakat dan Ketua-ketua Kaum Daerah Serian; ketua-ketua jabatan serta para penceramah yang terlibat dalam menjayakan program berkenaan.

