
KOTA KINABALU – Sabah dan Johor memperkukuh kerjasama strategik dalam sektor pelancongan, kebudayaan dan pemuliharaan warisan menerusi lawatan kerja Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) ke Tourism Johor dan Muzium Diraja Abu Bakar sebagai persediaan menjayakan kempen Visit Sabah 2027.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, lawatan tersebut membuka ruang kepada kedua-dua pihak membincangkan strategi promosi pelancongan, pembangunan produk, pemasaran destinasi serta peluang kerjasama yang mampu memberi manfaat kepada Sabah dan Johor.
“Sabah dan Johor masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri sebagai destinasi pelancongan.
“Melalui kerjasama yang lebih erat, kita mampu membangunkan promosi bersama, berkongsi amalan terbaik serta memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Selain mengadakan kunjungan hormat ke Tourism Johor, Jafry dan delegasi KePKAS turut melawat Muzium Diraja Abu Bakar bagi meninjau amalan terbaik dalam pemuliharaan warisan, pengurusan muzium dan pembangunan pelancongan berasaskan budaya.
Menurut Jafry, pengalaman yang dikongsikan oleh pihak muzium akan menjadi rujukan penting kepada Sabah dalam memperkukuh usaha memelihara khazanah sejarah dan kebudayaan negeri.
“Menjelang Visit Sabah 2027, KePKAS akan terus memperluaskan kerjasama strategik bersama agensi pelancongan dan institusi warisan di seluruh negara bagi memperkukuh promosi silang serta meningkatkan ketibaan pelancong domestik dan antarabangsa.
“Apabila negeri-negeri saling bekerjasama, kita bukan sahaja mempromosikan destinasi masing-masing, malah memperkukuhkan jenama Malaysia sebagai sebuah destinasi pelancongan yang berdaya saing di peringkat antarabangsa,” katanya.







