
NARATIF politik bertemakan ‘Asalkan Bukan PH-DAP’ dilihat menjadi antara faktor yang menyumbang kepada kekalahan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor apabila berjaya membentuk persepsi pengundi, khususnya di kawasan luar bandar dan pinggir bandar.
Pemerhati politik, Norman Daud berkata, naratif tersebut lebih berkesan membangkitkan sentimen emosi dan kebimbangan dalam kalangan pengundi berbanding perbahasan mengenai dasar, manifesto atau prestasi calon.
Menurut beliau, strategi pihak lawan lebih tertumpu kepada pembentukan persepsi bahawa kemenangan PH akan memberi kesan terhadap kedudukan politik Melayu, Islam dan institusi diraja, sekali gus mendorong sebahagian pengundi membuat pilihan berdasarkan rasa bimbang terhadap masa depan identiti mereka.
Katanya, persepsi yang dibina itu turut diperkukuh dengan mengaitkan semula pelbagai isu sepanjang pentadbiran PH selama 22 bulan, menyebabkan usaha gabungan itu mengetengahkan agenda reformasi dan pemulihan kurang mendapat perhatian.
Norman berkata, dalam keadaan sedemikian, mesej politik yang ringkas dan mudah difahami lebih mudah diterima berbanding penerangan berkaitan isu ekonomi berskala besar seperti pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau kemasukan pelaburan langsung asing (FDI).
Beliau berpandangan, pendekatan komunikasi politik PH perlu diubah dengan memberi tumpuan kepada isu yang lebih dekat dengan kehidupan rakyat seperti kos sara hidup, kebajikan, peluang pekerjaan dan penyelesaian masalah harian.
Menurutnya, jentera parti juga perlu memperkukuh kehadiran di peringkat akar umbi secara berterusan dan tidak hanya aktif menjelang pilihan raya.
Katanya, budaya membantu masyarakat secara konsisten akan membina keyakinan pengundi, selain mengelakkan tanggapan bahawa sesetengah kawasan hanya diberi perhatian berdasarkan potensi kemenangan pilihan raya.
Norman turut berpendapat bahawa komunikasi di media sosial perlu lebih berhemah dengan mengutamakan fakta dan data berbanding pendekatan menyerang atau menghina pihak lawan.
Beliau berkata, sebarang dakwaan berkaitan isu agama atau kaum wajar dijawab menggunakan fakta yang boleh disahkan supaya perbincangan awam lebih matang dan tidak dipengaruhi sentimen.
Pada masa sama, katanya, semua parti dalam PH perlu memainkan peranan membina kepercayaan rakyat melalui tindakan yang konsisten serta lebih peka terhadap sensitiviti masyarakat majmuk di negara ini.
Norman berpandangan, setiap komponen gabungan itu perlu saling melengkapi antara satu sama lain dan mengelakkan kenyataan atau tindakan yang boleh dimanipulasi oleh pihak lawan untuk membentuk persepsi negatif terhadap PH.
Mengulas lanjut, beliau berpendapat pemimpin DAP juga perlu lebih berhati-hati ketika mengulas isu berkaitan Melayu dan Islam bagi mengelakkan kenyataan mereka dijadikan bahan kempen oleh pihak lawan, sekali gus menjejaskan usaha PH menarik sokongan pengundi Melayu.





