Malaysia rasmi pencalonan semula bagi kerusi Majlis Keselamatan PBB penggal 2036-2037

KUALA LUMPUR – Malaysia memulakan langkah untuk kembali menduduki kerusi Anggota Tidak Tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) apabila secara rasmi mengemukakan pencalonan bagi penggal 2036 hingga 2037.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, pencalonan itu mencerminkan komitmen berterusan Malaysia untuk memainkan peranan lebih aktif dalam memperjuangkan keamanan sejagat, mempertahankan undang-undang antarabangsa dan memperkukuh sistem pelbagai hala.

Menurut beliau, pengalaman negara yang pernah menganggotai Majlis Keselamatan PBB sebanyak empat kali membuktikan Malaysia mempunyai rekod yang kukuh dalam memperjuangkan kepentingan negara membangun serta menyuarakan nasib masyarakat yang berdepan penindasan di peringkat antarabangsa.

“Insya-Allah, pada September ini, dalam Sesi Debat Umum Perhimpunan Agung PBB Ke-81 di New York, Menteri Luar (Datuk Seri Mohamad Hasan) akan terus menegaskan pendirian Malaysia dalam isu ini ketika menyampaikan Kenyataan Negara.

“Agenda reformasi Majlis Keselamatan PBB dan isu keselamatan dan keamanan sejagat akan terus menjadi satu keutamaan dalam dasar luar Malaysia,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) berhubung pendirian Malaysia terhadap ketidakseimbangan kuasa veto dalam Majlis Keselamatan PBB serta strategi kerajaan untuk memperjuangkan pembaharuan sistem PBB dan memperkukuh kedudukan negara dalam organisasi antarabangsa itu.

Lukanisman berkata, amalan penggunaan kuasa veto oleh negara kuasa besar telah menjejaskan kewibawaan Majlis Keselamatan PBB sehingga badan itu gagal melaksanakan tanggungjawabnya secara berkesan dalam menyelesaikan pelbagai konflik antarabangsa.

Katanya, keadaan itu dapat dilihat menerusi kegagalan Majlis Keselamatan PBB bertindak secara tegas dalam beberapa konflik, termasuk di Asia Barat, selain memastikan hak asasi rakyat Palestin terus dipertahankan.

“Malaysia secara konsisten menyokong dan menggesa pelaksanaan reformasi Majlis Keselamatan PBB secara menyeluruh, termasuk kuasa veto.

“Pendirian Malaysia adalah jelas bahawa kuasa veto adalah tidak adil dan perlu dimansuhkan.

“Paling tidak, penggunaan kuasa veto mesti dimansuhkan sama sekali dalam kes pencabulan undang-undang antarabangsa membabitkan jenayah berat, seperti jenayah perang, genosid, jenayah terhadap kemanusiaan serta pemusnahan infrastruktur awam secara sengaja, seperti yang berlaku di Gaza,” katanya.

Beliau berkata, usaha meningkatkan ketelusan Majlis Keselamatan PBB menunjukkan perkembangan positif menerusi kelulusan Inisiatif Veto di bawah Resolusi Perhimpunan Agung PBB 76/262 pada 2022 yang turut mendapat sokongan Malaysia.

Menurut beliau, resolusi itu memperuntukkan supaya Perhimpunan Agung PBB bersidang secara automatik dalam tempoh 10 hari bekerja setiap kali kuasa veto digunakan oleh mana-mana Anggota Tetap Majlis Keselamatan PBB bagi membincangkan isu yang berkenaan.

Katanya, anggota tetap yang menggunakan kuasa veto turut dikehendaki memberikan penjelasan kepada Perhimpunan Agung berhubung tindakan tersebut.

Beliau berkata, mekanisme itu telah dilaksanakan, termasuk menerusi Mesyuarat Tergempar Perhimpunan Agung PBB pada 16 April lalu susulan penggunaan kuasa veto oleh China dan Russia terhadap resolusi mengenai situasi di Iran dan Selat Hormuz di Majlis Keselamatan PBB pada 7 April.

“Selain isu veto, Malaysia juga menyokong peluasan Anggota Tetap dan Anggota Tidak Tetap Majlis Keselamatan PBB bagi memastikan setiap rantau diwakili secara saksama.

“Malaysia berpendirian bahawa komposisi Majlis Keselamatan PBB perlu diperbaiki supaya lebih saksama, inklusif dan mencerminkan realiti dan dinamik geopolitik semasa,” katanya.

Related Posts

MTPMA63 berlangsung di Sabah, Jumaat ini

KOTA KINABALU – Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) bakal diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu, pada Jumaat ini, 11 September. Menteri di Jabatan Perdana…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Wan Azizah gesa suara wanita diterjemah kepada dasar, bukan sekadar statistik

KUALA LUMPUR – Kajian Suara Wanita 2025/2026 membawa kepada lima hala tuju dasar yang wajar diberi perhatian kerajaan, sektor swasta dan masyarakat sivil, kata Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Ketelusan tawaran gaji sedang dikaji Kementerian Ekonomi

Ketelusan tawaran gaji sedang dikaji Kementerian Ekonomi

Enam pendaki hilang di Gunung Gerah disahkan selamat

Enam pendaki hilang di Gunung Gerah disahkan selamat

Penyelesaian yang gagal bila retorik politik bertembung dengan data

Penyelesaian yang gagal bila retorik politik bertembung dengan data

Siap siaga, turun padang dekati masyarakat – Rajesh

  • By Ezmie
  • September 7, 2026
Siap siaga, turun padang dekati masyarakat – Rajesh

Pelajar mangsa kebakaran mungkin ditempatkan di asrama

  • By Ithma
  • September 7, 2026
Pelajar mangsa kebakaran mungkin ditempatkan di asrama

Dua beradik antara dituduh bunuh lelaki di ladang kelapa sawit

Dua beradik antara dituduh bunuh lelaki di ladang kelapa sawit