
KANGAR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan tiada Pilihan Raya Kecil (PRK) akan diadakan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mata Ayer susulan kematian penyandangnya, Wan Badariah Wan Saad pada 31 Oktober lalu.
Keputusan itu dibuat selepas SPR menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Perlis bahawa kekosongan luar jangka berkenaan tidak perlu diisi berdasarkan peruntukan Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, keputusan itu selaras dengan Fasal (5) Perkara 55 Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis yang membolehkan kekosongan berkenaan tidak diisi, katanya dalam kenyataan hari ini.
“Selaras dengan itu, tiada Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Bahagian Pilihan Raya Negeri DUN N.04 Mata Ayer, Perlis akan dijalankan,” katanya.
Sementara itu, Speaker DUN Perlis, Rus’sele Eizan berkata, kekosongan kerusi Mata Ayer tidak menjejaskan kekuatan bilangan parti yang membentuk majoriti dalam DUN Perlis.
“Kekuatan dari segi bilangan parti yang membentuk majoriti ahli dewan negeri tidak terjejas oleh kekosongan ini,” katanya menerusi surat rasmi kepada Pengarah SPR Negeri Perlis bertarikh 4 November.
Rus’sele berkata, Fasal (5) Perkara 55 Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis menetapkan kekosongan luar jangka perlu diisi dalam tempoh 60 hari selepas SPR memastikan wujudnya kekosongan tersebut, tertakluk kepada syarat ditetapkan.
Bagaimanapun, katanya, kekosongan yang berlaku dalam tempoh dua tahun terakhir sebelum DUN sepatutnya dibubarkan tidak perlu diisi kecuali Speaker memaklumkan secara bertulis bahawa keadaan itu menjejaskan kekuatan bilangan parti yang membentuk majoriti dewan.
Beliau berkata, Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Pertama DUN Perlis berlangsung pada 19 Disember 2022, manakala tempoh tiga tahun usia dewan berkenaan genap pada 18 Disember 2025.
Dalam surat sama, beliau turut mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN Mata Ayer berkuat kuasa pada 31 Oktober lalu selain membatalkan surat pentadbiran terdahulu bertarikh 2 November 2026 berkaitan perkara itu.
Kerusi DUN Mata Ayer kosong selepas Wan Badariah Wan Saad, 50, yang juga wakil rakyat Pas meninggal dunia di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) pada pukul 4.26 petang, 31 Oktober lalu.



