KULAI – Seorang penduduk di Felda Taib Andak, Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai, melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas penganjuran Program Jualan Rahmah MADANI yang disifatkan banyak membantu meringankan beban kos sara hidup penduduk, khususnya golongan berpendapatan rendah.
Peniaga kecil, Ismiyati Anwar, 63, berkata, jualan program yang seringkali dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di kawasan Felda Taib Andak membolehkan keluarganya dan penduduk setempat mendapatkan barangan keperluan harian pada harga lebih rendah berbanding pasaran.
“Terima kasih kepada Perdana Menteri kerana mengadakan Jualan Rahmah hampir setiap bulan di Felda. Program ini memang banyak membantu rakyat yang kurang berkemampuan seperti kami.
“Barangan keperluan sekarang semakin mahal. Melalui Jualan Rahmah, kami masih boleh membeli ayam, telur dan minyak masak pada harga yang lebih murah. Memang sangat membantu,” katanya ketika ditemui The Malaysia Press (TMP) di Felda Taib Andak.

Dia yang mengusahakan perniagaan ayam gunting bersama suaminya sejak lebih setahun lalu berkata, program itu bukan sahaja membantu penduduk berjimat, malah memberi limpahan rezeki kepada peniaga kecil apabila lebih ramai orang mengunjungi kawasan berkenaan setiap kali Jualan Rahmah MADANI diadakan.
“Program ini kerap diadakan di kawasan kami. Kehadiran orang ramai secara tidak langsung membantu meningkatkan jualan peniaga kecil seperti saya,” katanya.
Mengulas mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Ismiyati berharap pengundi membuat pilihan berdasarkan keupayaan calon untuk berkhidmat kepada rakyat dan bukannya dipengaruhi faktor lain.
“Pilihlah calon yang benar-benar bekerja, rajin turun padang dan memahami masalah rakyat. Kami juga berharap kemudahan seperti jalan ke kawasan kebun terus ditambah baik, selain usaha meningkatkan kebajikan penduduk serta peneroka Felda diteruskan,” katanya.
Pada PRN Johor kali ini, DUN Bukit Permai menyaksikan saingan empat penjuru membabitkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd Jafni Md Shukor, calon Pakatan Harapan (PH), Mohamad Shafwan Ani, calon Perikatan Nasional (PN), M Lina Manoh, dan calon Parti Bersama Malaysia, Muhammad Aidil Riduan Mohd Yusof.






